Monday, 10 February 2014
Naungan CINTA ALLAH
Naungan CINTA ALLAH
Firman Yang Maha Pengasih,
'Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah' (Al-Baqarah : 165)
Apakah yang akan menghantar kita kepada rasa cinta kepada Maha Pemilik Cinta?
Mahabbatullah (Cinta kepada ALLAH) … faktor terbesar yang mampu mempengaruhi dan menentukan kadar interaksi seorang hamba kepada Penciptanya adalah ma'rifah (pengetahuan dan pengenalan tentang-NYA)
Bagaimanakah kita tahu cara Allah memperkenalkan diri kepada hamba-NYA?
Pesan Syeikh Ibn 'Athaillah, 'Manakala Allah memberimu anugerah, maka bererti DIA memperlihatkan belas kasih-NYA kepadamu. Apabila DIA menahan pemberian untukmu, maka bererti DIA memperlihatkan kekuasaan-NYA kepadamu. Dan pada semua kondisi itu, DIA memperkenalkan diri kepadamu serta menghadapimu dengan kelembutan-NYA'
Al-Hafizh Ibnu Rajab berkata,
'Tidak ada kekuatan bagi hati dan ruh, dan tidak ada pula makanan yang tepat bagi keduanya selain ma'rifatullah (mengenal ALLAH) dan mengetahui keagungan serta kebesaran Allah. Dengan ma'rifah, muncullah rasa takut, mengagungkan, senang dan cinta kepada ALLAH. Dengan ma'rifah pula, muncul pula rasa rindu ingin bertemu dan menerima dengan ikhlas semua keputusan-keputusan-NYA'
Hamba Allah yang mengaku mengenal ALLAH, akan kelihatan kesan ma'rifah pada zahir perbuatan dan tingkahlakunya. Bukan hanya sekadar perkataan yang menghiasi di bibir-bibir dan setakat berada di akal sahaja. Lihat pada realiti kehidupan hamba ALLAH tersebut. Adakah beliau menerima dengan ikhlas, ataupun seolah-olah melepaskan kemarahan kepada Pencipta di atas kesusahannya, enggan berbakti dan berdakwah, berjihad di jalan-NYA sebagai seorang daie dengan pelbagai alasan ujian ALLAH serta sering menyalahkan orang lain di atas keperitan yang ditanggungnya tanpa rasa takut, taqwa dan mengagungkan ALLAH.
Adakah itu bermaksud hanya jika ALLAH memberikan kelapangan berupa rezeki yang banyak, maka hamba-NYA akan kembali cergas menegakkan agama-NYA? Semoga kita sama-sama memeriksa hati dan diri kita adakah kita IKHLAS berjuang di atas jalan-NYA, menegakkan agama-NYA di saat susah dan senang… kerana bimbang jika kita diberikan kesenangan dan diuji dengan kemewahan, maka kita semakin jauh daripada jalan menuju ALLAH…
janganlah meletakkan sebarang SYARAT kepada ALLAH untuk berjuang menegak agama-NYA...
Wahai hamba ALLAH yang menyatakan kecintaan kepada Allah, ingatlah firman Maha Pengasih,
'Katakanlah, 'Siapalah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan'. Maka mereka menjawab, 'Allah'. Maka katakanlah, 'Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-NYA)?'
(Yunus : 31)
Moga isteri, suami, anak, rumah, pekerjaan, wang dan sebagainya bukan penghalang kita untuk teruskan berjuang di atas jalan dakwah ini.
Sunday, 2 February 2014
Mahabbah itu cinta...
Mahabbah itu cinta…
Hari cuti dipenuhi dengan aktiviti santai bersama si kecil…
melayan cerita ceriti…
terhibur mendengar suara comel menceritakan sesuatu dengan memek muka yang sungguh 'cute' dan sangat bersungguh-sungguh dalam bercerita… (dah tulis bersungguh-sungguh, diletakkan 'sangat' lagi untuk menta'kidkan… ;-) )
melihat wajah si kecil
tiada apa-apa dosa
timbul suatu rasa yang sangat indah, penuh cinta
terima kasih wahai Pencipta
yang menciptakan insan
dari bayi
kanak-kanak
membesar menjadi dewasa
ya…
si kecil yang sungguh menghiburkan
membasuh noda
memadam duka
menyembuhkan luka
ku penuhi lagi
cuti yang singkat ini
dengan aktiviti mencambah idea
meluaskan bacaan dunia
agar tidak sempit minda
… satu-satu buku… kitab… ku belek, ku teliti
alhamdulillah, satu nikmat
apabila diberikan masa untuk membaca
terima kasih wahai Penciptaku
di atas kelapangan yang Engkau berikan
moga segala bacaan ini
menambahkan lagi rasa cinta kepada-MU
menambahkan lagi rasa taqwa
…Dimensi Tasawuf HAMKA… menarik bukunya, tulisan Dr Abdul Rauf
HAMKA mengutip perkataan Imam Ghazali, 'Bekal yang harus dimiliki seseorang yang ingin mengkaji tasawuf adalah memahami tauhid secara mendalam, hukum-hukum agama dan syariat, sehingga tidak tunduk kepada perasaan kosong yang tidak berdasarkan ilmu'
Jadi, pandangan HAMKA selari dengan Imam al-Ghazali bahawa tasawwuf tidak dapat dipisahkan dari syariah dan tauhid, bahkan kedua terakhir mesti menjadi penyokong utama. demikian pula dengan syariah dan fiqh menjadi kosong dan tidak bermakna jika tidak disertakan dengan tasawwuf. hubungan erat itu dapat dinyatakan, bahawa syariat merupakan riadah; alat latihan bagi ahli sufi untuk bertasawwuf.
HAMKA menjelaskan lagi kedudukan tasawwuf, 'dengan pelajaran tasawwuf, kita melembutkan hati, melapangkan jalan dan meluaskan pandangan, yang didasarkan kepada cinta (mahabbah) dan sinar batin (isyraq) dan seandainya jiwa ini tidak diisi dengan tasawwuf, kita hanya sekadar mengaji feqah, halal dan haram, dengan tidak kita sedari waktu kita akan habis di dalam pertengkaran mempertahankan faham masing-masing atau perdebatan yang tidak berkesudahan'.
hmm… yang sungguh benar… ku juga telah mendengar dan melihat perdebatan-perdebatan begini… ramai yang tidak memahami tasawwuf, atau memahami tasawwuf dari sudut yang sempit… dan pelbagai alasan lain…
…Madarijus Salikin… Pendakian Menuju Allah…
Subscribe to:
Posts (Atom)