Friday 19 October 2012

Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya, dihantar-Nya orang-orang soleh (ahlu dzikr) untuk mendampingi hamba-Nya agar hamba-Nya kembali rukuk dan sujud kepada-Nya dalam erti kata yang sebenar.

Adakalanya kita tidak menyedari hal tersebut. Jika kita teliti, tiada yang kebetulan. Semuanya dengan pengetahuan dan aturan Yang Maha Pengasih. Tidakkah kita merasai kasih sayang-Nya terhadap kita? Allah uji hamba-Nya.
Allah melihat hamba-Nya melalui ujian dan rintangan kehidupan.
Allah melihat kesungguhan hamba-Nya dan kesabaran hamba-Nya.
Allah mendengar segala rintihan hamba-Nya.
Allah mengetahui segala detik dan desiran hati hamba-Nya walaupun selembut bayu.
Di saat hamba-Nya terjatuh, Maha Pencipta meniupkan kekuatan kepada hamba-Nya dengan hadirnya insan soleh.
Ketika hamba-Nya terleka melakukan dosa, Yang Maha Pengasih mengampunkan dosa dan menerima tangisan taubat hamba-Nya.
Sayangnya Maha Pencipta terhadap kita.



SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA AKAN DIHERET (UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA.

Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui dua cara.

Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. 

Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. 

Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. 

Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. 

Allah s.w.t berfirman:



Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 : Surah ar-Ra’d )


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...