Monday, 15 October 2012

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..


Si ayah ada tiga orang anak yang amat dikasihinya.

Anak 1 selalu sahaja memuji ayahnya dan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 1 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 1 itu berlalu.

Anak 2 selalu sahaja membantu ayahnya dan sebagai balasan Anak 2 akan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 2 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 2 itu berlalu.

Anak 3 selalu sahaja memuji, membantu dan sedaya upaya membuat sesuatu yang menggembirakan hati ayah tanpa meminta apa-apa. Anak 3 hanya menyerahkan sahaja segala pilihan kepada ayah kerana merasakan ayahnya lebih tahu apa yang terbaik buat Anak 3. Ayah akan memberi sesuatu berdasarkan keperluan Anak 3.

Suatu hari ayah memanggil ketiga-tiga anak yang dikasihi. Ditangan ayah ada sesuatu yang disukai oleh ketiga-tiga anak. Ayahnya bertanya sama ada mereka nak apa yang ada ditangan ayah. Ketiga-tiga anak merasa amat gembira sekali. Anak 1 dan Anak 2 seperti biasa terus melakukan sebagaimana kebiasaan dan meminta apa yang ada ditangan ayah. Ayah terus memberikan kepada Anak 1 dan Anak 2 apa yang mereka pinta.

Anak 3 termangu-mangu, merasa malu dan tidak tahu bagaimana untuk meminta. Anak 3 terus bertanya apa yang ayah kehendaki. Ayah tersenyum. Ayah tahu apa di dalam hati Anak 3 cuma Ayah nak Anak 3 menyuarakan permintaannya sahaja. Maka ayah akan tunaikan permintaan Anak 3.

Air mata mula mengalir di pipi Anak 3, mulut masih terkunci, tidak tahu bagaimana nak meminta, kerana selama ini Anak 3 hanya menyerahkan segala-galanya kepada Ayah, dan menerima apa sahaja yang ayah berikan sahaja.

Ayah berkata, 'Mintalah wahai anakku, pasti aku akan berikan apa yang kamu minta'.


Begitulah kita, yang kurang meminta, kurang berdoa secara khusus.

Maha Pencipta menunggu dengan penuh rindu doa-doa hamba-Nya
Maha Pengasih menunggu dengan penuh cinta permintaan hamba-Nya
Sungguh indah bukan
Indahnya sebuah rasa, cinta Maha Pencipta,
Pemilik Yang Maha Agung, Maha Lembut, Maha Penyayang

Mintalah.. berdoalah wahai hamba-KU


Terdapat hadis yag diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bazzar, Abu Ya'la dan Al-Hakim daripada Abu Said Al-Khudri r.a yang bermaksud :

'Tiada seseorang dari seorang muslim berdoa dengan doa (yang) tiada pada (doa)nya itu (perkara yang) derhaka/dosa dan tiada yang memutuskan hubungan silaturrahim melainkan dikurniakan Allah akan dia dengan salah satu daripada 3 perkara :
1. sama ada disegerakan baginya permintaan itu; atau
2. sama ada disimpan baginya di akhirat (diberi ganjarannya di akhirat); atau
3. sama ada ditolak dengannya dari kejahatan (atau keburukan atau bala) yang seumpama setara dengan apa yang dimohon


Syeikh Ibnu 'Athaillah pernah berkata :

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN

Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.

Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.

Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:

Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.

Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.


Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...