Berdoalah dengan penuh sopan dan malu di hadapan Tuhanmu
Di saat engkau di uji dengan perlakuan maksiat, kembalilah kepada Pemilikmu. Mengadulah dengan rendah hati kepada-Nya. Rasa beratnya dosa. Mohonlah kepada Penciptamu. Jangan memohon kepada selain Pemilikmu kerana Dia-lah yang memenuhi hajatmu. Bagaimana sesuatu selain-Nya boleh mengubah sesuatu yang Allah swt sudah tetapkan? Bagaimana mungkin orang yang engkau pinta pertolongan boleh mengubah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Bagaimana memohon kepada Maha Lembut dan Maha Penyayang? Mohonlah dengan penuh sopan dan rasa malu pada-Nya. Berdoa itu tidaklah sama seperti menyuruh seorang pelayan melakukan sesuatu yang kita kehendaki. Pendoa sejati memohon dengan penuh sopan dan malu dihadapan Maha Penyayang. Pendoa sejati tidak meminta sesuatu yang ia kehendaki, namun menampakkan sikap sopan di hadapan Penciptanya.
Yang paling penting ialah bukan pada fakta bahawa kita memohon, namun pada kenyataan bahawa kita sopan. Ketahuilah bahawa Penciptamu mengetahui apa yang di dalam hatimu, walaupun engkau tidak menyebutnya. Ketahuilah bahawa Pemilikmu mengetahui apa yang engkau inginkan walaupun engkau tidak meminta. Yang penting bukanlah adanya permohonan, melainkan engkau diberikan kesopanan ketika bersimpuh tunduk mengadap Yang Maha Kuasa.
Malunya kita di hadapan Pemilik dan Pencipta kita
Rasakan kebesaran-Nya
Rasakan kelembutan-Nya
Rasakan kehangatan cinta-Nya
Sedarlah, bahawa berdoa itu sendiri menunjukkan sebahagian dari kasih sayang Allah swt kepada kita.
Ketika Allah melonggarkan lidahmu untuk meminta, maka ketahuilah bahawa Dia hendak memberimu.
Syeikh Haeri berkata, ketika manusia merasa butuh (perlukan sesuatu) lalu kembali kepada Allah agar Dia memenuhi kebutuhannya (keperluannya), itu menunjukkan bagaimana Dia, Yang Maha Pemurah, mendekatkan jarak antara Si Peminta dan Sang Pemberi. Sesungguhnya Dia membolehkan kita meminta agar kita merasakan aliran kurnia dan rahmat-Nya, yang sudah ada sebelum diminta. Ungkapan lisan yang paling jujur dalam meminta menggemakan janji pengabulan-Nya, yang sudah ada sebelum suara lidah meluncur.
No comments:
Post a Comment