Monday, 8 October 2012

Allah Cinta Kamu?




Allah Cinta Kamu?


Allah Cinta Kamu? Benarkah? Adakah kamu merasai cinta Allah terhadap dirimu? Banyak mana yang kamu rasa? Sebanyak dan sedalam air lautan... sebanyak air kopi panas di dalam cawan... sekolam renang... atau hanya setitis tinta...

Kamu yang merasainya bukan? Soalan ini hanya diri sendiri sahaja yang mampu menjawabnya. Kerana kamu yang merasainya.

Apakah tanda-tanda Allah mencintai kamu?

Tanda-tanda orang yang memperolehi cinta Allah dapat kita lihat dari keimanannya yang terus bertambah dari waktu ke waktu. Hamba-Nya sibuk dengan Allah hingga kekadang lupa makan dan minum. Ibadah dan kepatuhannya kian meningkat dalam melaksanakan syariat agama, lebih sensitif terhadap segala larangan Maha Pencipta dan menjauhinya. Hamba-Nya berusaha memperbanyakkan zikir kepada Maha Kuasa, serta sentiasa merasa diawasi oleh Khaliq-Nya walau di mana jua dia berada.

Dalam suatu hadis Qudsi yang berbunyi : 'Seorang hamba akan terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sampai Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang ia gunakan untuk memukul, dan kakinya yang ia gunakan untuk berjalan' (HR Bukhari)

Dalam suatu riwayat yang lain diceritakan bahawa terdapat seorang wanita solehah menjadi pelayan dalam sebuah rumah. Ia sentiasa melakukan solat malam. Suatu hari, majikan beliau mendengar doa-doa yang ia baca dalam sujudnya.

Katanya, 'Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dengan cinta-Mu kepadaku agar Engkau memuliakan aku dengan bertambahnya ketaqwaan di hatiku....'

Setelah wanita solehah tersebut selesai solat, majikan bertanya kepadanya, 'Dari mana kamu tahu bahawa Allah mencintaimu? Mengapa tidak kamu katakan sahaja, 'Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dengan cintaku kepada-Mu?'

Wanita solehah tersebut menjawab, 'Wahai Tuanku, kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia membangunkan aku pada waktu-waktu seperti ini. Kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia membangunkan aku untuk berdiri (solat) menghadap-Nya. Kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia menggerakkan bibirku untuk bermunajat kepada-Nya'

Subhanallah...
Indahnya sebuah CINTA...
Cinta yang amat menggiurkan hati...
Cinta yang begitu mengasyikkan...
Cinta yang membuatkan hati ini sentiasa bahagia...

Ya Allah, Engkau tambahkanlah rasa cinta ini dalam hatiku...
Ya Allah, Engkau penuhkanlah rasa cinta dan rindu pada-MU dalam diriku...
Sungguh Engkau Maha Pengasih, Maha Lembut, Maha Penyayang...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...