Sunday, 20 December 2015

Jururawat Cassie menemui hidayah melalui pesakit Alzheimers

Kisah menarik mengenai Jururawat Cassie berusia 23 tahun yang memeluk Islam.
Hidayah daripada Allah swt melalui pesakitnya berusia 80 tahun yang mengalami Alzheimers.



Mulianya seorang hamba Allah swt.
Dalam keadaan terlantar sakit, Allah swt memberi hidayah melalui dirinya.

Friday, 16 October 2015

bicaraku...


bicaraku


Wahai Penciptaku
dalam kesibukanku mengurus dunia
ku diuji dengan pelbagai oleh hamba-hambaMU
perit terasa
pelbagai tuduhan dan kata nista
pelbagai fitnah dan cemuhan
semua yang kulakukan dipersalahkan
semua yang kulakukan diputar belitkan

Guru menasihatkan ku
sabar … S A B A R
ya terus bersabar

ku tarik nafas panjang-panjang
ku lepaskan perlahan lahan
bila kah akan selesai
2009
2010
2011
2012
2013
2014
2015
……….
sukarnya menyelesaikan tugasan yang diberikan
berat terasa beban amanah
walau disebaliknya ku nampak hikmah
KAU berikan apa yang ku impikan
KAU berikan apa yang ku citakan
… ACSB ...
KAU hadiahkan ku 313
KAU hadiahkan ku 15

Wahai Penciptaku

hari ini aku terbaca sebuah kisah
kisah mimpi
sebelum ini memang ku pernah membacanya beberapa kali
tapi kali ini ku ingin berkongsi di sini
buat penghibur diri
buat peringatan diri


Mimpi Abu Laits As-Samarqandi


Abu Laits As-Samarqandi adalah seorang ahli feqah yang mashyur. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi orang-orang yang lalai). 

Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima “petunjuk” dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka beliau salah seorang yang menerima petunjuk melalui mimpi itu, pada suatu malam beliau bermimpi diperintahkan yang berbunyi, 

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat demikian:- 
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah. 
2. Engkau sembunyikan. 
3. Engkau terimalah. 
4. Jangan engkau putuskan harapan. 
5. Larilah engkau daripadanya." 

Pada keesokan harinya, beliau itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Beliau kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka beliau itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka beliau pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'. 

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas beliau itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Beliau itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka beliau berkata itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari olehnya, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam. 

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Hamba Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. 

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri beliau itu sambil berkata, "Wahai Hamba Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Maka beliau itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, beliau meneruskan perjalananya. 

Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah beliau ke rumahnya. 

Pada malam itu, beliau pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawasanya:- 

1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. 

2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. 

3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. 

4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. 

5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah." 

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-gata tentang dirimu." 

ku rindukan MU




ku rindukan MU


Wahai Penciptaku
dalam ramai terasa sendiri
dalam riuh terasa sepi
dalam gembira terasa sayu hati
dalam tawa hati merintih

Wahai Penciptaku
aku rindu saat-saat berbicara dengan-MU
aku rindu saat-saat menyendiri dengan-MU
semuanya ku adu
semuanya

ketika itu duniaku terasa sangat luas
walau perit di uji
jejakku tidak terasa di bumi
bagai terbang di angkasa
melihat makhluk-MU
berbicara bercanda membeli belah segala
KAU menghiburku dengan pelbagai mimpi indah
mimpi bertemu dengan-MU
masih terngiang kata-kataMU
"……. ALLAH"

Sungguh aku rindu
sungguh aku rindu
waktu itu saat itu
ujianMU sangat indah
SABAR ITU INDAH
walau kini jika diuji sebegitu rasanya tak mampu ku harungi lagi
kerdilnya diri ini

ku cemburu kepada semua wali-MU
ku cemburu kepada kekasih-kekasih-MU
cemburu kerana mereka menikmati keindahan bersama dengan-MU

indahnya mengingati-MU
indahnya sebuah RINDU
indahnya setiap denyutan nadi mengingati MAHA PENCIPTA

Tuesday, 15 September 2015

Cemburu Seorang Hamba




Cemburu Seorang Hamba


Cemburu seorang hamba
apabila hamba-hamba-Nya dijemput satu persatu mengadap Sang Pencipta

Cemburu seorang hamba
apabila melihat wajah bersih bercahaya hamba-hamba-Nya yang khusyuk mengadap-Nya

Cemburu seorang hamba
apabila mendengar butir bicara penuh hikmah dan lembut bahasa wali-Nya

Cemburu seorang hamba
apabila memikirkan dirinya kurang mendapat perhatian berbanding hamba-hamba-Nya yang taat kepada-Nya dan tinggi ujian-Nya

Bak kata Syaikh Asy-Syibli (r.a) : "Cinta bererti engkau cemburu demi Sang Kekasih jangan-jangan seorang manusia sepertimu juga mencintai-Nya"
-ar-Risalah Imam Qusyairi r.a.

Wahai Penciptaku, aku ingin bersama-sama-MU setiap masa setiap ketika berbicara dengan-MU

Monday, 11 May 2015

indahnya SABAR



indahnya SABAR

Wahai Penciptaku
Syukur ke hadrat-MU
mempertemukanku dengan guruku
wali-MU

Wahai Penciptaku
Betapa besarnya anugerah-MU kepadaku
tetapi mengapa masih ada rasa sedih
apabila memori silam datang menggamit
rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku
setelah segala bantuan-MU berikan kepadaku
di sebalik ujian para hamba-MU yang lebih besar dan hebat dariku

Wahai Penciptaku
Betapa tidak bersyukurnya aku hamba-MU
di atas segala kasih sayang-MU
yang Engkau curahkan kepadaku
KAU datangkan kepadaku wali-MU

Ampunkanlah segala dosaku
Ampunkanlah segala sikap kurang ajarku
Ampunkanlah segala-galanya yang tidak baik dari diriku
Ampunkanlah segala kelemahanku wahai Penciptaku
Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Maha Penyayang
Tiada tempat lagi untuk aku mengadu
selain berbicara di blog yang kosong ini
tiada yang mengenali
tiada yang mengetahui
segala kepahitan dan keperitan yang kulalui
yang menjadikan diri ini
kuat, kasar, tegas, tidak peduli lagi apa yang berlaku
tidak kisah sekeliling
di sebalik kelembutan hati
itu dulu

adakala kesemua ujian pahit dan perit itu
membuka jalan hadirnya seorang wali
tanpa kita sedari
menarik diri keluar dari lurah penderitaan
terima kasih Wahai Penciptaku
di atas segala ujian-MU tanpa henti
terima kasih Wahai Penciptaku
di atas segala kekuatan dan ketabahan yang Engkau kurniakan kepada diriku yang lemah ini
terima kasih Wahai Penciptaku
kerana mengizinkan aku meneguk keindahan sabar

Syeikh Abul Abbas Al-Marsi r.a berkata : "untuk mengenal orang arif (waliyullah) itu lebih sukar daripada mengenal Allah Taala, sebab Allah swt itu mudah dikenal dengan Kamal dan Jamal-Nya (dengan adanya bukti-bukti kebesaran, kekuasaan dan keindahan ciptaan-Nya). Maka bagaimana pula anda akan dapat mengenal manusia yang sama sahaja seperti anda?"

Maksudnya ialah bahawa Allah taala itu tidak boleh dikenal melainkan apa yang tampak nyata pada setiap perbuatan-Nya (mencipta dan mengatur), dan begitu juga untuk mengenali wali amat sukar melainkan apa yang tampak nyata pada sifat-sifat wali itu. Jadi, jika Allah taala amat sukar untuk dikenali kecuali dengan taufik-Nya (petunjuk-Nya), demikian juga wali Allah juga amat sukar dikenali melainkan dengan Haq Allah Taala menyampaikan kepadanya. Tanda wali itu ialah mengutamakan Haq Allah Taala dan berpaling (tidak menghiraukan) makhluk dengan melazimkan (mengekalkan) sunnah Rasul-Nya dengan bersungguh-sungguh.

mencoret ketika sepi menyelubungi diri
merindui Ilahi

Sunday, 10 May 2015

Nafi Isbat




Nafi Isbat


Jari-jemari membilang detik
tasbih elektronik pelbagai warna
ku usung merata
ku ketik satu satu
10, 33, 100
'Semua Tugasan Silam'
biar sedikit tapi istiqamah
bicara Sang Guru

dulu membilang angka
1000, 10000, 100000
sesekali menyendiri
menyiapkan assignment diberi
bersih diri
suci hati

bicaraku
biar sepi
tasbihku
wiridku
penguat diri

Allah swt berfirman "Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah banyak-banyak dan tasbihkanlah DIA di waktu pagi dan petang"(Al Ahzab : 42)


Allah swt berfirman "Allah, tiada ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia yang Maha Hidup dan terus-menerus mengurus (makhluk-Nya)"

Bahagia ya. Allah swt mengurus kehidupan kita semua. Apa lagi nak dibimbangkan. Tentunya Allah nak yang terbaik buat hamba-Nya. Tapi adakala kita sebagai hamba kurang memahami tujuan setiap satu yang berlaku di dalam kehidupan kita.

Allah berfirman (dalam hadis qudsi) : "Kusediakan syurga untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH, Ku haramkan neraka untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Dan Ku ampunkan dosa untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Rahmat dan ampunan-KU terbuka bagi ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Sengaja Ku ciptakan syurga hanya untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Ahli LA ILAHA ILLA ALLAH tersebut hanya bisa dicampuri dengan sesuatu yang sesuai dengan kalimat LA ILAHA ILLA ALLAH"

Ada beberapa istilah untuk kalimat La Ilaha Illa Allah

1. Kalimat Tauhid

Ia disebut kalimat tauhid kerana ia menunjukkan penolakan terhadap semua bentuk syirik secara mutlak
"Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan selain Dia" (Al-Baqarah : 163)

2. Kalimat Ikhlas
Ia disebut kalimat ikhlas kerana pada prinsipnya ia merupakan perbuatan kalbu

3. Kalimah Ihsan
Allah swt berfirman "Tidak ada balasan dari ihsan kecuali ihsan pula" (Al Rahman : 60)

4. Kalimat Keadilan
Allah swt berfirman "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan" (An Nahl : 90)

5. Kalimat Thayyibah
Allah swt berfirman "Perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik" (Ibrahim : 24)

6. Kalimat Yang Teguh
Ia disebut kalimat yang teguh kerana Allah sebagai zat yang diingat dan diketahui bersifat teguh dalam zat-Nya.
Allah swt berfirman "Dia meneguhkan (iman) orang-orang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat" (Ibrahim : 27)

7. Kalimat Taqwa
Allah swt berfirman "Lalu Dia mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa" (al-Fath : 26)

8. Kalimat Istiqamah
Allah swt berfirman "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, 'Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka istiqamah" (Fussilat : 30)

9. Kalimat Al-Haq
Allah swt berfirman "Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafaat, akan tetapi (orang yang dapat memberi syafaat ialah) orang yang mengakui al-Haq dan mereka mengetahuinya" (Al-Zukhruf : 86)

10. Kalimat Yang Benar
Allah swt berfirman "Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad saw) serta orang yang membenarkannya (Abu Bakar), mereka itulah orang-orang yang bertakwa" (Az-Zumar : 33)





Rasulullah saw bersabda : "Kaum al-mufradun telah mendahului". "Siapakah al-mufradun, wahai Rasulullah?" tanya para sahabat. Baginda saw menjawab "Mereka adalah lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah" (HR Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

# Al-Mufradun : orang-orang yang senang dan sentiasa berzikir. Mereka tidak peduli dengan komentar orang tentang mereka

Wahai Allah, moga aku sekeluarga, guruku berserta rakan-rakan seperjuanganku tergolongan dalam golongan al-mufradun. Ameen.







Tuesday, 27 January 2015

Rindu Seorang Hamba

Rindu Seorang Hamba


Kalam Perindu
mencoretkan kata-kata rindu seorang hamba buat Pencipta nya
gelisah gundah terasa 
bila hati berjauhan dengan Maha Pencipta

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

dunia terasa kosong
tanpa rindu kepada-MU

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

jiwa terasa kosong
tanpa zikir mengingati-MU

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

lembutkanlah hatiku
lembutkanlah kata-kataku
jangan biarkan luka semalam
menjadikanku insan yang keras
tiada peduli koyakan luka

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

aku ingin terus mencintai-MU merindui-MU
hanya kepada-MU
jangan biarkan hamba-MU ini sendiri
jadikanlah aku hamba-MU yang berserah hanya kepada-MU

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...