Monday, 11 May 2015

indahnya SABAR



indahnya SABAR

Wahai Penciptaku
Syukur ke hadrat-MU
mempertemukanku dengan guruku
wali-MU

Wahai Penciptaku
Betapa besarnya anugerah-MU kepadaku
tetapi mengapa masih ada rasa sedih
apabila memori silam datang menggamit
rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku
setelah segala bantuan-MU berikan kepadaku
di sebalik ujian para hamba-MU yang lebih besar dan hebat dariku

Wahai Penciptaku
Betapa tidak bersyukurnya aku hamba-MU
di atas segala kasih sayang-MU
yang Engkau curahkan kepadaku
KAU datangkan kepadaku wali-MU

Ampunkanlah segala dosaku
Ampunkanlah segala sikap kurang ajarku
Ampunkanlah segala-galanya yang tidak baik dari diriku
Ampunkanlah segala kelemahanku wahai Penciptaku
Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Maha Penyayang
Tiada tempat lagi untuk aku mengadu
selain berbicara di blog yang kosong ini
tiada yang mengenali
tiada yang mengetahui
segala kepahitan dan keperitan yang kulalui
yang menjadikan diri ini
kuat, kasar, tegas, tidak peduli lagi apa yang berlaku
tidak kisah sekeliling
di sebalik kelembutan hati
itu dulu

adakala kesemua ujian pahit dan perit itu
membuka jalan hadirnya seorang wali
tanpa kita sedari
menarik diri keluar dari lurah penderitaan
terima kasih Wahai Penciptaku
di atas segala ujian-MU tanpa henti
terima kasih Wahai Penciptaku
di atas segala kekuatan dan ketabahan yang Engkau kurniakan kepada diriku yang lemah ini
terima kasih Wahai Penciptaku
kerana mengizinkan aku meneguk keindahan sabar

Syeikh Abul Abbas Al-Marsi r.a berkata : "untuk mengenal orang arif (waliyullah) itu lebih sukar daripada mengenal Allah Taala, sebab Allah swt itu mudah dikenal dengan Kamal dan Jamal-Nya (dengan adanya bukti-bukti kebesaran, kekuasaan dan keindahan ciptaan-Nya). Maka bagaimana pula anda akan dapat mengenal manusia yang sama sahaja seperti anda?"

Maksudnya ialah bahawa Allah taala itu tidak boleh dikenal melainkan apa yang tampak nyata pada setiap perbuatan-Nya (mencipta dan mengatur), dan begitu juga untuk mengenali wali amat sukar melainkan apa yang tampak nyata pada sifat-sifat wali itu. Jadi, jika Allah taala amat sukar untuk dikenali kecuali dengan taufik-Nya (petunjuk-Nya), demikian juga wali Allah juga amat sukar dikenali melainkan dengan Haq Allah Taala menyampaikan kepadanya. Tanda wali itu ialah mengutamakan Haq Allah Taala dan berpaling (tidak menghiraukan) makhluk dengan melazimkan (mengekalkan) sunnah Rasul-Nya dengan bersungguh-sungguh.

mencoret ketika sepi menyelubungi diri
merindui Ilahi

Sunday, 10 May 2015

Nafi Isbat




Nafi Isbat


Jari-jemari membilang detik
tasbih elektronik pelbagai warna
ku usung merata
ku ketik satu satu
10, 33, 100
'Semua Tugasan Silam'
biar sedikit tapi istiqamah
bicara Sang Guru

dulu membilang angka
1000, 10000, 100000
sesekali menyendiri
menyiapkan assignment diberi
bersih diri
suci hati

bicaraku
biar sepi
tasbihku
wiridku
penguat diri

Allah swt berfirman "Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah banyak-banyak dan tasbihkanlah DIA di waktu pagi dan petang"(Al Ahzab : 42)


Allah swt berfirman "Allah, tiada ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia yang Maha Hidup dan terus-menerus mengurus (makhluk-Nya)"

Bahagia ya. Allah swt mengurus kehidupan kita semua. Apa lagi nak dibimbangkan. Tentunya Allah nak yang terbaik buat hamba-Nya. Tapi adakala kita sebagai hamba kurang memahami tujuan setiap satu yang berlaku di dalam kehidupan kita.

Allah berfirman (dalam hadis qudsi) : "Kusediakan syurga untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH, Ku haramkan neraka untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Dan Ku ampunkan dosa untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Rahmat dan ampunan-KU terbuka bagi ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Sengaja Ku ciptakan syurga hanya untuk ahli LA ILAHA ILLA ALLAH. Ahli LA ILAHA ILLA ALLAH tersebut hanya bisa dicampuri dengan sesuatu yang sesuai dengan kalimat LA ILAHA ILLA ALLAH"

Ada beberapa istilah untuk kalimat La Ilaha Illa Allah

1. Kalimat Tauhid

Ia disebut kalimat tauhid kerana ia menunjukkan penolakan terhadap semua bentuk syirik secara mutlak
"Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan selain Dia" (Al-Baqarah : 163)

2. Kalimat Ikhlas
Ia disebut kalimat ikhlas kerana pada prinsipnya ia merupakan perbuatan kalbu

3. Kalimah Ihsan
Allah swt berfirman "Tidak ada balasan dari ihsan kecuali ihsan pula" (Al Rahman : 60)

4. Kalimat Keadilan
Allah swt berfirman "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan" (An Nahl : 90)

5. Kalimat Thayyibah
Allah swt berfirman "Perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik" (Ibrahim : 24)

6. Kalimat Yang Teguh
Ia disebut kalimat yang teguh kerana Allah sebagai zat yang diingat dan diketahui bersifat teguh dalam zat-Nya.
Allah swt berfirman "Dia meneguhkan (iman) orang-orang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat" (Ibrahim : 27)

7. Kalimat Taqwa
Allah swt berfirman "Lalu Dia mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa" (al-Fath : 26)

8. Kalimat Istiqamah
Allah swt berfirman "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, 'Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka istiqamah" (Fussilat : 30)

9. Kalimat Al-Haq
Allah swt berfirman "Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafaat, akan tetapi (orang yang dapat memberi syafaat ialah) orang yang mengakui al-Haq dan mereka mengetahuinya" (Al-Zukhruf : 86)

10. Kalimat Yang Benar
Allah swt berfirman "Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad saw) serta orang yang membenarkannya (Abu Bakar), mereka itulah orang-orang yang bertakwa" (Az-Zumar : 33)





Rasulullah saw bersabda : "Kaum al-mufradun telah mendahului". "Siapakah al-mufradun, wahai Rasulullah?" tanya para sahabat. Baginda saw menjawab "Mereka adalah lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah" (HR Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

# Al-Mufradun : orang-orang yang senang dan sentiasa berzikir. Mereka tidak peduli dengan komentar orang tentang mereka

Wahai Allah, moga aku sekeluarga, guruku berserta rakan-rakan seperjuanganku tergolongan dalam golongan al-mufradun. Ameen.







Tuesday, 27 January 2015

Rindu Seorang Hamba

Rindu Seorang Hamba


Kalam Perindu
mencoretkan kata-kata rindu seorang hamba buat Pencipta nya
gelisah gundah terasa 
bila hati berjauhan dengan Maha Pencipta

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

dunia terasa kosong
tanpa rindu kepada-MU

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

jiwa terasa kosong
tanpa zikir mengingati-MU

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

lembutkanlah hatiku
lembutkanlah kata-kataku
jangan biarkan luka semalam
menjadikanku insan yang keras
tiada peduli koyakan luka

Wahai Penciptaku
Wahai Maha Lembut
Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Penyayang

aku ingin terus mencintai-MU merindui-MU
hanya kepada-MU
jangan biarkan hamba-MU ini sendiri
jadikanlah aku hamba-MU yang berserah hanya kepada-MU

Thursday, 30 October 2014

Indahnya Merindui Allah, Indahnya berbicara dengan Pencipta kita


Indahnya Merindui Allah, 
Indahnya berbicara dengan Pencipta kita


Sudah agak lama aku tidak mencoret di dada Kalam Perindu, begitu rindu untuk mencatat bait-bait rindu, ya.. bait-bait bicara merindui Maha Pencipta. Bukanlah suatu yang aneh bagi hamba-Nya untuk mencatat rasa rindu rasa cinta buat Maha Pencipta.. bukankah begitu?

Ada masa, ada ketikanya kita akan merasa tercari-tercari… ia suatu rasa yang begitu aneh, hingga kita seolah tidak tahu apa yang dicari, jiwa terasa begitu kosong. Apabila kita berbicara dengan-Nya, atau mencoret rasa cinta dan rindu, jiwa kembali tenang.. tenang seketika..

Bukan mudah untuk mencari seorang Guru yang boleh menunjuk jalan, menunjuk arah.. kita cuba memahami apa yang berlaku ke atas diri kita.. perubahan-perubahan dalaman yang dirasai.. apabila merasai ketenangan yang dikurniakan Maha Pencipta kepada kita, kita cuba peluk dan mempertahankan ketenangan dan kebahagiaan yang dirasai itu.. walaupun ia bukan mudah, ia sangat sukar.. kerana kita hanyalah hamba yang biasa biasa sahaja, .. ketika diuji, kalah dengan ujian.. ketika susah, mula keluh mengadu.. bila senang, terleka dengan mainan dunia.. begitulah kita hamba-Nya..

bila dikurniakan sedikit rasa hati..
bila dikurniakan mimpi Ilahi..
hati terasa begitu bahagia sekali..
terasa tidak terpijak di bumi..
menggapai di langit tinggi..
walaupun hanya sekali..
hanya sekali..
begitu bererti sekali..
bagai dibuka hijab yang meliputi selama ini..
nampak keindahan duniawi..
tergambar keajaiban syurga Ilahi..
rindu mula menggamit hati..
cinta mula melilit diri..
ingin bertemu dengan Rabbul Izzati..
ilmu tasawuf.. sufi..
salik.. suluk.. murabbi..
wirid dan zikir..
qudratillah dan hizib..
cuba mengenal makna diri..

bukan mudah pendakian ini..

kosong..

Wahai hamba, serah diri kepada Pencipta-MU

Monday, 22 September 2014

Hujan Cinta

Hujan Cinta



Alangkah indahnya jika hati kita dipenuhi dengan rasa cinta dan rindu kepada Maha Pencipta
Tetapi, hakikatnya manusia sentiasa diuji dengan iman yang sifatnya ' yazid wa yanqus'
Turun naik iman ini membuatkan hamba-Nya kekadang terasa jauh dari Rabb-Nya
Terasa tercari-cari
Terasa sendiri
Terasa sunyi
Apakah hikmah disebalik aturan Allah swt?
Sedangkan sebenarnya Allah swt itu sangat dekat

Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu  di mana sahaja kamu berada
(Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Kita bercita-cita untuk memiliki
hati yang bersih
hati yang suci
hati yang bercahaya

Kita berusaha untuk memiliki
hati yang bersih
hati yang suci
hati yang bercahaya

Tapi, adakala kita terlupa
adakala kita tersalah arah
atau silap memahami petanda petunjuk-Nya

perjalanan hati
tidak semudah perjalanan kaki
risau jika langkah yang diatur
makin kita menjauhi-Nya

Saturday, 14 June 2014

Bersahabat dengan Pencipta-MU


Sufyan Ats-Thauri berkata :

1. Jangan kamu jualkan persahabatanmu dengan Allah swt kerana inginkan persahabatan dunia dan isinya

2. Aku takut menerima sesuatu daripada seseorang kerana hatiku mungkin jatuh cinta kepadanya. Aku hanya ingin hidup bersama Allah swt

3. Dosa dengan manusia itu lebih besar dosa dengan Allah swt

4. Bagi ahli dunia, tidur itu lebih baik daripada berjaga kerana dengan tidur mereka tidak dapat membincangkan hal-hal keduniaan

5. Seseorang bertanya kepada Ats-Thauri : 'Jika seseorang pergi berkhalwat (memencilkan diri kerana Allah swt) Apakah makanan yang akan dimakannya?' Beliau menjawab : 'Orang yang takut kepada Allah swt tidak bimbang dengan perkara berkaitan keduniaan'.

Rujukan : Kitab Tazkirah Awliya', m/s 81

Cinta & Rindu Allah..



Al-Junaidi Al-Baghdadi pernah berkata :
1- Mati itu rumah Allah SWT, jangan biarkan selain Allah SWT mendiaminya. ( Jangan biarkan kita mati dalam keadaan Syirik kepada Allah SWT ).
2- Rindu kepada Allah SWT itu membuang dosa.
3- Kamu tidak akan mencapai Baqa’ ( kekal dengan Allah SWT ) sebelum melalui Fana’ ( hapus diri ).
4- Orang yang takut kepada Allah SWT tidak sentiasa senyum.
5- Orang yang hidup bersandarkan nyawa akan mati, kerana nyawa akan berpisah daripada badan. Orang yang hidup bergantung kepada Allah SWT tidak akan mati kerana Allah SWT tidak akan mati.
6- Mata manusia itu lebih baik buta sekiranya mata tidak dapat menghargai Keindahan Allah SWT.
Lidah manusia itu lebih baik bisu jika lidah tersebut tidak menyebut Nama-nama  Allah SWT.
Telinga manusia itu lebih baik tuli jika telinga tersebut tidak boleh menerima Nasihat Allah SWT.
Anggota manusia  itu lebih baik mati jika tidak melakukan Arahan Allah SWT.
7- Orang yang bergantung dengan usahanya sendiri dalam mengenang Allah tidak akan mendapat ganjaran penuh dalam ibadatnya.
8- Orang yang dicintai oleh Allah SWT akan dipermudahkan kepadanya untuk berkawan dengan Wali-wali Allah SWT.
9- Orang yang mengkaji sesuatu tetapi tidak mengkaji hikmah perkahwinan tidak akan mencapai kesempurnaan dalam kajiannya.
10- Orang yang terlalu banyak makan tidak akan dapat melakukan ibadat.
11- Dunia itu tidak manis tetapi manis pada nilai kerohanian yang Allah SWT berikan kepadanya.
12- 400 orang ulamak bersepakat ” Seseorang itu hendaklah melakukan ibadat dengan penuh hati dan khusyuk sehingga tidak terlintas dalam fikirannya selain daripada Allah SWT”.
13- Seorang sufi itu seperti ladang, baja dan isinya. oleh yang demikian orang sufi adalah ibarat benih-benih yang baik.
14- Tauhid itu adalah mengenal Allah SWT.
15- Perasaan Cinta kepada Allah SWT akan membunuh perasaan ego yang terdapat dalan jiwa orang mukmin.
16- Sesat lalai daripada mengingati Allah SWT menghapuskan pahala seribu tahun beribadat.
17- Orang yang Benar-benar Ikhlas kepada Allah SWT pasti akan menjumpai Allah SWT.
18- Orang yang benar-benar  Mukmin adalah orang yang yakin hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi makanan kepadanya.
19- Orang yang berakal waras adalah lebih baik daripada orang sufi yang memiliki perasaan jahat di dalam hati.
20- Allah SWT terlebih dahulu mencipta Rahmat daripada mencipta Dunia.
21-  Sesiapa menyebut nama Allah SWT pasti namanya akan lenyap bersama nama Allah SWT.
22- Kesufian yang Allah SWT kurniakan kepada semua insan adalah kesufian yang lari daripada dunia dan menuju kepada Allah SWT dengan peribadatan.
23- Rahsia kesufian itu adalah Rahsia yang tersimpan di sisi Allah SWT yang tidak akan diketahui oleh sesiapa pun.
24- Jenayah yang paling zalim adalah Tamak haluba.
25- Berfikir dengan ayat-ayat Al-Quran akan mendapat Cahaya Allah SWT, kemuliaan Allah SWT dan Taqwa kepada Allah SWT.
Ayat-ayat Al-Quran berupaya melahirkan perasaan Cinta kepada Allah SWT.
26- Orang yang sentiasa memikirkan Rahmat Allah SWT akan dapat menghilangkan dosa kerana orang yang bimbang kehilangan Rahmat Allah tidak akan melakukan dosa.
27- Orang yang paling agong disisi Allah adalah orang yang menyerah kehendaknya kepada kehendak Allah SWT dan keredhaan Allah SWT.
28- Seseorang yang benar-benar Hamba Allah SWT tidak akan menyembah selain daripada Allah SWT.
29- Buangkan perasaan pentingkan dunia, pasti  Allah SWT akan membuka Jalan untuk menemuiNya.
30- Membuang hawa nafsu akan menjadikan diri anda pendamping kepada Allah SWT yang paling dekat.

Kitab Takirah Awliya’. m/s : 111-113.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...