Thursday, 24 May 2018

Rindu pada seorang Teman




Rindu pada seorang Teman


aku fikir
aku mampu hidup sendiri
menongkah arus
memanjat gunung
aku melemparkan senyuman jauh-jauh
agar kelihatan ke pelusuk alam
bahawa aku seorang yang gagah
aku seorang yang kuat
aku tak perlukan dahan lagi untuk berpaut

temanku memandangku dari kejauhan
temanku mendoakanku dari kejauhan
temanku senyum melihat kegigihanku meneruskan kehidupan
cuba melepaskan tanganku sedikit demi sedikit
agar kumampu bertatih berjalan
setelah pulih daripada cedera dalam sebuah perjalanan yang sukar

aku rindu pada nasihatnya
aku rindu pada gurauannya
aku rindu pada kelembutannya
aku rindu melihat segala tingkah lakunya yang mulia
mendidik umat tanpa alpa
hingga tiada masa untuk leka

itulah temanku
aku berharap dia menjadi temanku di akhirat kelak
walaupun sekadar berjiran di syurga
Aamin ya Rabbal Alamin

Saturday, 10 February 2018

Rindu PADA-MU

RINDU PADA-MU




Lama aku tidak menjengah rumah Kalam Perindu. Adakah itu bererti sudah berkurangnya rinduku padaMU ya Rabb? Terasa jiwa ini kosong. Termangu sendirian. Setelah segala dugaan itu Engkau angkat dari hambaMU, terasa ringan bebanan di bahu, tetapi risaunya hati ini jika ringannya ujian itu membuatkan hambaMU ini makin jauh daripadaMU wahai Penciptaku. Risaunya hati ini jika rinduku padaMU makin berkurang wahai Penciptaku.

Wahai Maha Pengasih
Wahai Maha Lembut

Kerasnya hati ini, Engkau lembutkanlah
Engkau cairkanlah segala kemarahanku
aku bukanlah hambaMU yang sempurna
aku punya banyak kelemahan ya Rabb
Engkau jernihkanlah mindaku agar aku memahami segala apa yang berlaku di sepanjang perjalanan hidup yang Engkau aturkan

Dulu hidupku dalam ketakutan
bertemankan tangisan
sendu air mata setia

Kini hidupku penuh kesunyian

Tiada teman untuk berbicara
Teman terpercaya rupanya berpura-pura


Aku ingin kembali padaMU Wahai Penciptaku
Dulu lidahku basah dengan zikir
Engkau menghadirkan nur ketenangan nur bahagia
di sebalik kegelapan ujian yang melanda
Engkau menampakkan kepada ku suatu jalan
Engkau menampakkan kepada ku suatu keindahan
Engkau mengurniakan suatu rasa ketenangan
Engkau menganugerahkan keindahan berbicara denganMU
leka bermanja hingga hilang segala rasa kantuk
berbantalkan tangan bertilamkan sejadah
menantikan tibanya malam
menunggu-nunggu tibanya malam

semua itu sungguh indah
yang kesemuanya tiada boleh dibeli dengan harta dunia
sungguh hambaMU ini rindu semua itu Wahai Penciptaku

Wahai Penciptaku
Bantulah aku untuk sentiasa mencintaiMU dan merinduiMU melebihi segalanya
tiada anugerah keindahan yang lebih indah daripada itu yang pernah aku rasa

Wednesday, 1 November 2017

Pasangan Hidup

Pasangan Hidup



Sudah lama tidak menulis di dada Kalam Perindu.
Bila rindu berputik, maka jari jemari terus menaip.
Tiada perkataan yang tersedia dalam kotak fikiran.
Semuanya kosong.

Sambil melayan lagu 'You Are The One' oleh Raef.
Indah liriknya.


I thought of this before over a million times Who would've ever thought that it would be our time? I just know it, 'cause you're the one
It ain't a selfish love, when I'm with you You remind me of Allah, and so I know it's true I'll just say it: you are the one

Ya, hidup berpasangan impian semua
Masing-masing menggambarkan pasangan hidup yang saling melengkapi kekurangan diri
Saling menasihatkan dengan penuh cinta agar mahligai cinta yang didirikan hingga ke Syurga-Nya
Namun, tidak semua kita dikurniakan rezeki menikmati nikmat cinta dan bahagia berumahtangga



Mawaddah Wa Rahmah

Allah swt berfirman di dalam Surah Rum ayat 21 bahawa Allah menjadikan rasa tenteram dan berkasih sayang di antara pasangan.


Jalan Keluar

Maka mengapakah terdapat di dalam perkahwinan pasangan yang tidak atau kurang merasai nikmat ketenteraman dan kasih sayang? Bahkan, Allah jadikan di dalam rumahtangga itu tidak nyaman dan hilangnya rasa keselamatan. Hidup di dalam ketakutan.

Allah juga menyediakan jalan keluar kepada hamba-hambaNya sekiranya tiada mawaddah wa rahmah di dalam rumahtangga.


Sunday, 11 September 2016

Aidil Adha lambang cinta dan pengorbanan



Aidil Adha lambang CINTA dan PENGORBANAN


12.09.2016


Sayup kedengaran suara takbir
Sayu juga hati ini
Mengenangkan ujian CINTA
membuktikan PENGORBANAN
antara dua jiwa

Betapa sebuah cinta itu
menuntut pengorbanan

Indahnya kisah pengorbanan dua wanita
Pengorbanan Sarah
Pengorbanan Hajar

Indahnya kisah pengorbanan dua lelaki
Pengorbanan Ibrahim as
Pengorbanan Ismail as

Pengorbanan demi CINTA ILAHI

Demi sebuah CINTA
Dua jiwa terpisah
Resah gelisah
Allah gantikan dengan nikmatNYA yang berganda


Cinta Sarah dan Ibrahim as
Sebuah kisah cinta yang sangat indah
Pasangan kekasih yang melabuhkan segala cinta kepada Maha Pencipta
Segala pengorbanan mereka pastinya tiada sia-sianya
Episod pengorbanan Cinta Dua Wanita
Pengorbanan Cinta Sarah
Maha Pengasih menghadiahkan sang Putera Nabi Ishaq as
Pengorbanan Cinta Hajar
Maha Pengasih mengurniakan telaga zam zam
dan bumi gersang tumbuh menghijau
dan penuh dengan jutaan manusia mengunjunginya 

Aku?
Aidil Adha kali ini
menyaksikan ujian perpisahan
Cinta dan Pengorbanan
Moga ianya juga tidak sia-sia
Moga ianya menjadi asbab untuk aku dan dia semakin mencintai dan merindui Maha Pencipta








Tuesday, 23 August 2016

Diri kita adalah ujian... Ujian Sesama Manusia...

Diri kita adalah ujian... 
Ujian Sesama Manusia...



Semalam 22.08.2016 pukul 11.23pagi merakamkan satu detik yang mengubah keseluruhan hidupku.
Pasrah dengan ujian-MU wahai Penciptaku.
Setelah hampir 20 tahun melaluinya, banyak yang ku pelajari.

Kasih sayang Maha Pencipta
aku merenung
merenung jauh di sebalik hamparan ujian

pahitnya ujian
sakitnya ujian

ada hamba-NYA yang diciptakan sebagai ujian kepada hamba-NYA yang lain
dan disebabkan dirinya tersebut, hamba yang diuji itu dikurniakan kesabaran, ketabahan, dan pelbagai nikmat anugerah daripada Maha Pencipta
Maha Pencipta mengurniakan masa untuk sujud menyembah Pencipta
berbicara bersama Maha Pemilik

adakah kita termasuk di kalangan hamba-NYA yang mendatangkan ujian kepada hamba-hambaNYA yang lain?
bila difikirkan, ya. aku pun termasuk juga dalam golongan pertama dan kedua.

aku menjadi ujian kepada manusia lain.
dan manusia lain juga menjadi ujian kepada aku.

dan alangkah bertuahnya jika ujian-ujian yang mendatangi manusia lain melalui diri aku mengangkat martabat mereka di sisi Allah swt.
dan alangkah bertuahnya manusia lain tersebut jika ujian-ujian yang datang daripada mereka terhadap diri aku melatih aku bersabar, bertabah, dan menjadikan diriku disayangi dan dicintai Maha Pencipta.

alangkah indahnya hidup ini.

indahnya hati hamba-NYA yang dapat berinteraksi dengan UJIAN dan memahami maksud kedatangan UJIAN.











Sunday, 24 April 2016

Fikirkan PILIHAN MAHA PENCIPTA ke atas dirimu, abaikan yang lain



Fikirkan PILIHAN MAHA PENCIPTA ke atas dirimu, 
abaikan yang lain



Wahai Maha Pengasih, berikanlah kefahaman atas semua kejadian...
Bacalah alam ini dengan penuh khusyuk...
Segala pilihan ALLAH adalah yang terbaik...
Serahkan diri kepada-NYA
Yakin kepada setiap ketetapan-NYA
jangan terlalu memikirkan segala kata-kata makhluk-NYA di sekelilingmu... tetapi fikirkanlah apakah PILIHAN-NYA ke atas dirimu....
sedangkan engkau setiap hari berdoa untuk mendekati, mengenali, mencintai dan merindui MAHA PENYAYANG.... adakah engkau hamba yang menipu dirimu sendiri....
MALU untuk menerima ketentuan-NYA?
Risau dengan segala pandangan makhluk-NYA?

"Hilangkan pandangan orang lain kepada anda kerana berasa puas dengan pandangan Allah Taala kepada anda"

Ghaibkan pandangan anda terhadap makhluk kerana tidak ada seorangpun yang mampu memberi mudarat atau manfaat kerana adanya pandangan Allah Taala kepada anda kerana DIA lah saja yang memiliki mereka dan anda...
Janganlah anda menghiraukan pandangan orang lain kepada anda, sebaliknya lihatlah pengawasan Allah Taala kepada anda. Ini kerana Allah Taala sentiasa memandang anda pada setiap hal keadaan anda dan Dia amat mengetahui apa yang tersembunyi di dalamnya, sedang orang lain tidak tahu langsung tentang keadaan diri anda itu kecuali yang nampak lahir pada anda.
Apabila Allah Taala memandang kepada anda dengan penuh kasih sayang, maka tidak ada sesiapa yang mampu mendatangkan mudarat kepada anda dengan pandangan kebencian mereka itu.
Oleh itu jelaslah, bahawa sesiapa yang mampu menghilangkan pandangan orang lain (makhluk) daripada fikirannya dan sebaliknya berhadap (bersemuka) dengan pandangan Haq Taala dan menghala ke arah-NYA, maka ini bererti memang benarlah ia bersungguh-sungguh dalam UBUDIAHnya (menghambakan diri kepada Allah Taala) dan berbahagialah dia dalam setiap haalnya.

Saturday, 23 April 2016

Ujian Kehidupan




UJIAN KEHIDUPAN


Di hujung perjalanan, sudah ada ketentuan Allah swt...
ketentuan itu pasti terbaik buat hamba-hambaNya yang beriman...

Wahai Maha Pengasih,
berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi segala rintangan kehidupan...
sesungguhnya segala cabaran ini terlalu sulit, terlalu payah, terlalu sukar buat hambaMu ini yang lemah...

Tiadalah kekuatan selain daripada pertolonganMu wahai Penciptaku...
aku tidak tahu apa hikmah di sebalik semua yang berlaku...
diri terasa sesak dari hari ke hari...
sungguh aku lemah, tidak berdaya untuk menghadapinya...

Setiap hari aku berdoa untuk mendekatiMu, mencintaiMu, merinduiMu...
Setiap hari juga aku diduga dengan makhlukMu...
dugaan yang tak mampu aku hadapinya wahai Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
betapa sukarnya untuk membuat pilihan antara 2 KEHIDUPAN...

Wahai Allah Yang Maha Pengasih,
sukarnya aku untuk melangkah keluar dari kehidupan ini...
betapa takutnya aku untuk menghadapi kehidupan di luar sana...
apakah yanag ada di luar sana?
walaupun kehidupan sekarang ini terlalu sakit, mencederakan diriku...
tapi, aku takut untuk menghadapi kehidupan baru di luar sana...

Wahai Allah Yang Dirindu,
Tunjukkanlah jalan menujuMu

Wahai Allah Yang Dirindu,
Bantulah kami untuk mendekatiMu

Wahai Allah Yang Dirindu,
Berikanlah kami kekuatan dan kesabaran menghadapi ujianMu

Wahai Penciptaku,
Berikanlah yang terbaik buat kami hamba-hambaMU yang lemah ini
kami tidak memahami hikmah di sebalik segala ujianMu ini
risaunya hati ini jika langkah yang kami ambil ini semakin menjauhi diriMu
dan menambahkan dosa kami kepadaMu
ampunkanlah segala kekhilafan hamba-hambaMu ini dalam membuat pilihan kehidupan

Wahai Maha Pengasih,
Ku mohon kebahagiaan dariMu di dunia dan akhirat
Jadikanlah hamba-hambaMU yang REDHA dengan segala ujian dan ketentuanMU
dan berikanlah kami KEFAHAMAN disebalik segala ujian kehidupan ini




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...