Tuesday, 5 November 2013
Perjalanan Sebuah Cinta
Perjalanan Sebuah Cinta
Kata Maha Pencipta, "Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalan Kami".
Indah bukan. Ini janji Maha Pencipta kepada makhluk-Nya. Buat motivasi hati ini, agar tetap meneruskan perjalanan menuju CINTA ALLAH, walaupun keseorangan di alam ini, teruskan dan teruskan hingga menggapai CINTA ALLAH. Bersama-NYA sentiasa.
Dalam perjalanan menuju Pencipta, kita akan melalui alam-alam yang berlainan rasa.
Lihat sekeliling. Di sekeliling kita ada pelbagai manusia. Ciptaan Allah. Ada pelbagai lapisan jalinan hubungan. Hubungan fizikal. Hubungan hati.
Hubungan 1 - ikatan rakan taulan, kawan
Hubungan 2 - ikatan rakan kerja
Hubungan 3 - ikatan sahabat
Hubungan 4 - ikatan keluarga
Hubungan 5 - ikatan hati
Hubungan ikatan hati sangat unik yang membawa kita meneroka satu alam. Alam menuju Maha Pencipta. Alam Cinta. Alam yang tidak dapat dirasai oleh fizikal. Adakala perbualan topik alam hati ini sangat indah hingga menyebabkan kita lupa bahawa kita berpijak di alam fizikal, alam nampak.
Indahnya hamba Allah yang mempunyai hubungan ikatan hati. Meneroka satu alam yang indah. Mengenali Allah Yang Maha Lembut. Setiap ungkapan yang keluar mengandungi kata-kata hikmah yang menyentuh hati. Membimbing hamba-Nya menuju Cinta Suci.
Indahnya kata-kata Rabiatul Adawiyah ketika disoal tentang ibadah solatnya.
'Wahai Rabiah, apa yang engkau harapkan dari balasan ibadah solatmu?'
Tegas Rabiah menjawab,
'Aku tidak menginginkan balasan apa pun. Akan tetapi aku ingin membuat Rasulullah saw bahagia pada hari Kiamat nanti, iaitu ketika baginda mengatakan kepada para Nabi yang lain,
"Saksikanlah, ini adalah amalan yang telah dilakukan oleh seorang wanita dari umatku" '
Apabila seseorang hamba Allah dipilih Allah mencapai satu darjat yang sangat tinggi, iaitu sampai ke satu alam yang tidak lagi dibatasi oleh 3 dimensi, maka terjadilah perkara-perkara pelik yang sukar diterima dek akal normal. Seseorang yang diangkat oleh Allah untuk mengamalkan dimensi iman, islam dan ihsan, maka dia akan mencapai darjat yang sangat luar biasa.
Apabila membicarakan satu alam yang penuh rahsia, tentunya sangat berbeza dengan alam nyata yang kita hadapi dan lalui setiap hari. Roh yang menjelajah alam ghaib akan banyak menemui pelbagai perkara yang tidak mungkin dikemukakan dan dijelaskan dengan kata-kata.
Di dalam tubuh manusia itu sendiri mempunyai banyak sekali rahsia. Keadaan ini mungkin berlaku ke atas sesiapa sahaja yang Allah pilih dan kehendaki. Tubuh manusia dapat menjadi ringan sebagaimana ringannya udara, atau bahkan menjadi halus sebagaimana halusnya cahaya. Ada juga yang dapat menyaksikan roh para malaikat yang sedang mengelilingi bumi, kerana naluri kemanusiaannya yang sangat jauh dan bersih dari kecintaan terhadap kenikmatan dunia. Keadaan ini sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw, 'Apabila kalian menyembah Allah swt dengan benar, maka kalian akan dapat menjabat tangan para malaikat di tengah-tengah jalan di mana saja'
Ucapkanlah kepada dunia sebagaimana ungkapan Sahabat Ali bin Abi Talib r.a. :
'Wahai dunia, jauhilah aku. Jika engkau hendak menipuku, maka pergilah kepada selain aku'
Bagaimana kenikmatan dunia dapat menipu Rabiah, sedangkan beliau hidup di alam rahsia yang penuh dengan cahaya. Zuhud dan qanaah telah menjadi pilihan dalam hidupnya. Hatinya benar-benar telah bercahaya sehingga dapat menyaksikan pelbagai jenis rahsia alam.
Rindu.
Rindu.
Moga aku juga dapat ketemu Rabiatul Adawiyah, insan yang penuh di dadanya dengan CINTA ALLAH. Sungguh indah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment