Sunday, 17 February 2013

Klik Kalam Cinta Allah




Bagaimana iman anda hari ini?


Mulakan hari anda dengan kalam cinta Allah swt.
Kalam cinta yang mengubat luka.
Kalam cinta yang mencorak lukisan rindu di hati.
Kalam cinta yang membasuh duka.
Kalam cinta yang memberikan nur bahagia.

Bagaimana iman anda hari ini?
Bertambah atau menurunkah
atau statik
gitu-gitu sahaja
tidakkah anda terasa apa-apa
itulah tanda aras iman anda

Dengarlah bicara Al-Quran tentang cinta manusia kepada Khaliq
"Dan di antara manusia ada yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan; yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat), bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah sangat berat azab-Nya (nescaya mereka menyesal)" (Al-Baqarah : 165)

Allah berbicara lagi,
"Katakanlah (Muhammad), jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang" (Ali-Imran : 31)


Wahai Pendosa
Janganlah berputus asa kerna telah membuat dosa
Kerna kau miliki Tuhan Yang Maha Penghapus Dosa
Mohon dan mohonlah kepada-Nya
Andai kau mengenali-Nya
Pasti kau tidak akan meninggalkan-Nya
Kerna rasa rindu dan cinta kepada-Nya
menghapuskan segala duka

Pesanan Syaikh Ibnu 'Atha'illah, jadikanlah perbuatan dosa itu sebagai momentum untuk mengakhiri kedurhakaanmu kepada Allah. Dan mohonlah kepada-Nya, agar itu menjadi dosa terakhir yang pernah engkau lakukan dalam hidupmu. serta jangan putus asa dari rahmat-Nya. Sebab, kasih sayang Allah meliputi segala sesuatu.

"Apabila engkau terlanjur berbuat dosa, maka jangan engkau putus asa dalam menggapai istiqamah kepada Rabbmu, kerana boleh jadi, itulah dosa terakhir yang ditaqdirkan bagimu" - Syaikh Ibnu 'Athaillah

Buah cinta manusia kepada Allah adalah kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan-Nya. Ya Allah, penuhilah diri ini dengan rasa rindu dan cinta kepada-Mu.

Lagu Nostalgia Lama 'Kesedaran'



Lagu Nostalgia Lama "Kesedaran"
Nyanyian : Gaya Zakri



Embun dihujungnya daun
Menitis lalu berderai
Jatuh ke bumi hilang
Hanya tinggallah kenangan
Daun dipohon nan rimbun
Berguguran bertaburan
Tak kuasa menahan
Selain dari mu tuhan

Korus:
Aku…sedar hidup insan
Kan sampai jua ke hujungnya
Bagai embun bagai daun-daun
Aku…sedar dan berjanji
Kan…mencurah bakti suci murni
Sebelum mengatur langkah
Yang terakhir…
Lagu: Khairil Johari Johar
Lirik: Siti Zaleha Hashim


Beberapa hari ini selalu mendengar lagu ini dimainkan oleh radio ikim.. 
sebuah lagu lama yang amat saya minati sejak di bangku sekolah rendah..
Sebuah lagu yang menggamit nostalgia lama..
Fokuskan bait-bait senikatanya yang indah..

Perhatikanlah alam semesta di sekeliling kita, renungkan setiap kejadian, fikirkan semua ciptaan-Nya, akan ternampak keindahan setiap sesuatu yang berlaku..

Adakalanya apa yang berlaku ke atas diri kita, ia telah melukakan diri dan meninggalkan parut yang dalam, amat dalam dan terasa amat sukar untuk disembuhkan, tetapi bagi Allah swt, semuanya tidak mustahil walau parut itu dilukakan dan dilukakan kembali.. mudah bagi Allah swt untuk menyembuhkan luka itu kembali.. di sebalik kesabaran menanggung kepedihan, diberikan kebahagiaan.. bersyukurlah..

Pahit, Manis, Masam, Masin Kehidupan
Semuanya di dalam pengetahuan dan aturan Yang Maha Kuasa
Berbahagialah kepada hamba-Nya yang ambil pengajaran
dan Bersabar di atas segala ketentuan-Nya
Moga kita semua kembali kepada-Nya
di dalam keadaan fitrah..

Sunday, 10 February 2013

Indahnya Cinta, Indahnya Taubat



Indahnya Cinta, Indahnya Taubat


Dulu, tak pernah terasa keindahan sebuah cinta Ilahi... bagaikan disingkap... bagai dikejut dari tidur yang lena... semuanya baru kelihatan indah di mata kasar... mengapa dulunya aku seperti orang buta yang hanya menjalani hidup, sibuk dengan urusan kerja, sibuk dengan urusan dunia... sibuk membilang masalah yang menimpa... sibuk menguruskan emosi dan mengendalikan diri... sabar menjadi teman siang dan malam...

Lagu Taubat mengiringi sendu...

Allah Ya Allah
Maha Pemurah
Ampuni Dosa
Hamba-Mu 2x
Ku ingin bertaubat, bertaubat
Dari segalalah dosa
Sudikah Kau terima
Segala keinsafan
Ya Allah

Ku ulang, ku ulang, ku ulang
dalam esak tangis yang dalam

Tidak tahu bekal apa yang nak dibawa mengadap-Nya
Tiada cinta kurasa dari makhluk-Nya
Hanya kuteruskan hidup yang memang telah ditetapkan-Nya untuk aku lalui
Kemanisan cinta tidak ku rasa lagi

Wahai Pemilik Segala Cinta
Engkaulah yang memiliki Cinta
Engkaulah yang memberikan Cinta
Engkaulah yang berhak mengambilnya semula
dan Engkaulah jua yang akan mengembalikan rasa cinta itu semula
Tapi adakah indahnya jika cinta yag Kau kembalikan
ialah rasa cinta satu-satunya hanya pada-Mu

Abu Al Abbas berkata, 'Cinta adalah pengagungan di dalam hati yang membuat seseorang hanya tunduk kepada kekasihnya'

Allah Yang Dirindu berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 165
'Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah'

Indah bukan kalam Allah ini.

Abu Abdullah Al-Quraisyi mengatakan, 'Cinta ialah menyerahkan seluruh dirimu kepada sang Kekasih, hingga tidak tersisa sedikitpun pada dirimu'

Cinta umpama mabuk yang tidak siuman kecuali dengan melihat kekasih tercinta. Cinta ialah ibarat anda berdiri di pintu sang Kekasih untuk selama-lamanya. Anda tidak mengendahkan yang lain.

Abu Umar Az-Zajjaj berkata, 'Aku pernah bertanya kepada Al- Junaid tentang definisi cinta, lalu ia berkata, "Cinta ialah mencintai semua yang dicintai Allah pada hamba-Nya dan membenci semua dibenci Allah pada hamba-Nya"

Cemburu ialah salah satu tanda cinta.

Adakah di dunia ini kecintaan yang benar selain kecintaan kepada-Nya?
Segala cinta yang bertaut kepada selain diri-Nya adalah batil dan lenyap bersama dengan lenyapnya pihak yang dicintainya. Sedangkan cinta kepada Allah tidak akan lenyap dan hilang



Saturday, 9 February 2013

Indahnya Cinta ALLAH



Indahnya Cinta Allah



Terasa rindu untuk mencoret keindahan cinta-Nya. Setelah sekian lama terpendam. Rasa terbakar di dalam.

Indahnya cinta Allah. Allah mendekat pada setiap malam untuk mendengar bicara hamba-hamba-Nya. Sungguh indah bukan. Penyayang Allah kepada kita, para hamba-Nya.

'Saudara-saudaraku, jika malam telah tiba, maka berjalanlah anda di bawah kegelapan, datangilah Allah swt dengan renda hati, duduklah di depan haribaan-Nya dengan rasa yang hina. Jika pintu Allah swt telah dibuka bagi orang-orang yang ingin sampai kepada-Nya, maka masuklah ke dalam pintu-Nya dengan rasa takut dan penuh harapan, agar Allah swt mengabulkan segala keinginanmu' (Ibnu Al-Jauzi, Al-Mudhisy)

'Abdullah ibn Wahab katanya, 'Semua kelazatan dunia hanya mempunyai satu kelazatan kecuali kelazatan ibadah. Ibadah mempunyai tiga kelazatan, pertama, ketika aku sedang beribadah, kedua, ketika aku sedang diingatkan untuk beribadah dan ketiga, ketika aku diberi pahalanya di akhirat kelak' (Ibnu Al-Kharrath, Ash-Shalah wa At-Tahajud)

Allahu Akbar! Tidakkah anda terasa keindahan bermunajat dan sujud kepada Maha Pencipta. Berbicara dengan-Nya. Bermanja dengan-Nya. Merayu dengan-Nya. Mengadu kepada-Nya.

Ya Allah, mudahkanlah kami untuk sujud dan rukuk kepada-Mu. Izinkanlah kami untuk merasai kemanisan beribadah kepada-Mu.

Ya Allah, aku merindui-Mu. Aku ingin selalu mengingati-Mu setiap masa dan ketika.

Friday, 28 December 2012

Rindu Allah

Rindu Allah



Al-Junaidi Al-Bahgdadi pernah berkata :
1- Mati itu rumah Allah SWT, jangan biarkan selain Allah SWT mendiaminya. ( Jangan biarkan kita mati dalam keadaan Syirik kepada Allah SWT ).
2- Rindu kepada Allah SWT itu membuang dosa.
3- Kamu tidak akan mencapai Baqa’ ( kekal dengan Allah SWT ) sebelum melalui Fana’ ( hapus diri ).
4- Orang yang takut kepada Allah SWT tidak sentiasa senyum.
5- Orang yang hidup bersandarkan nyawa akan mati, kerana nyawa akan berpisah daripada badan. Orang yang hidup bergantung kepada Allah SWT tidak akan mati kerana Allah SWT tidak akan mati.
6- Mata manusia itu lebih baik buta sekiranya mata tidak dapat menghargai Keindahan Allah SWT.
Lidah manusia itu lebih baik bisu jika lidah tersebut tidak menyebut Nama-nama  Allah SWT.
Telinga manusia itu lebih baik tuli jika telinga tersebut tidak boleh menerima Nasihat Allah SWT.
Anggota manusia  itu lebih baik mati jika tidak melakukan Arahan Allah SWT.
7- Orang yang bergantung dengan usahanya sendiri dalam mengenang Allah tidak akan mendapat ganjaran penuh dalam ibadatnya.
8- Orang yang dicintai oleh Allah SWT akan dipermudahkan kepadanya untuk berkawan dengan Wali-wali Allah SWT.
9- Orang yang mengkaji sesuatu tetapi tidak mengkaji hikmah perkahwinan tidak akan mencapai kesempurnaan dalam kajiannya.
10- Orang yang terlalu banyak makan tidak akan dapat melakukan ibadat.
11- Dunia itu tidak manis tetapi manis pada nilai kerohanian yang Allah SWT berikan kepadanya.
12- 400 orang ulamak bersepakat ” Seseorang itu hendaklah melakukan ibadat dengan penuh hati dan khusyuk sehingga tidak terlintas dalam fikirannya selain daripada Allah SWT”.
13- Seorang sufi itu seperti ladang, baja dan isinya. oleh yang demikian orang sufi adalah ibarat benih-benih yang baik.
14- Tauhid itu adalah mengenal Allah SWT.
15- Perasaan Cinta kepada Allah SWT akan membunuh perasaan ego yang terdapat dalan jiwa orang mukmin.
16- Sesat lalai daripada mengingati Allah SWT menghapuskan pahala seribu tahun beribadat.
17- Orang yang Benar-benar Ikhlas kepada Allah SWT pasti akan menjumpai Allah SWT.
18- Orang yang benar-benar  Mukmin adalah orang yang yakin hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi makanan kepadanya.
19- Orang yang berakal waras adalah lebih baik daripada orang sufi yang memiliki perasaan jahat di dalam hati.
20- Allah SWT terlebih dahulu mencipta Rahmat daripada mencipta Dunia.
21-  Sesiapa menyebut nama Allah SWT pasti namanya akan lenyap bersama nama Allah SWT.
22- Kesufian yang Allah SWT kurniakan kepada semua insan adalah kesufian yang lari daripada dunia dan menuju kepada Allah SWT dengan peribadatan.
23- Rahsia kesufian itu adalah Rahsia yang tersimpan di sisi Allah SWT yang tidak akan diketahui oleh sesiapa pun.
24- Jenayah yang paling zalim adalah Tamak haluba.
25- Berfikir dengan ayat-ayat Al-Quran akan mendapat Cahaya Allah SWT, kemuliaan Allah SWT dan Taqwa kepada Allah SWT.
Ayat-ayat Al-Quran berupaya melahirkan perasaan Cinta kepada Allah SWT.
26- Orang yang sentiasa memikirkan Rahmat Allah SWT akan dapat menghilangkan dosa kerana orang yang bimbang kehilangan Rahmat Allah tidak akan melakukan dosa.
27- Orang yang paling agong disisi Allah adalah orang yang menyerah kehendaknya kepada kehendak Allah SWT dan keredhaan Allah SWT.
28- Seseorang yang benar-benar Hamba Allah SWT tidak akan menyembah selain daripada Allah SWT.
29- Buangkan perasaan pentingkan dunia, pasti  Allah SWT akan membuka Jalan untuk menemuiNya.
30- Membuang hawa nafsu akan menjadikan diri anda pendamping kepada Allah SWT yang paling dekat.

Friday, 19 October 2012

Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya, dihantar-Nya orang-orang soleh (ahlu dzikr) untuk mendampingi hamba-Nya agar hamba-Nya kembali rukuk dan sujud kepada-Nya dalam erti kata yang sebenar.

Adakalanya kita tidak menyedari hal tersebut. Jika kita teliti, tiada yang kebetulan. Semuanya dengan pengetahuan dan aturan Yang Maha Pengasih. Tidakkah kita merasai kasih sayang-Nya terhadap kita? Allah uji hamba-Nya.
Allah melihat hamba-Nya melalui ujian dan rintangan kehidupan.
Allah melihat kesungguhan hamba-Nya dan kesabaran hamba-Nya.
Allah mendengar segala rintihan hamba-Nya.
Allah mengetahui segala detik dan desiran hati hamba-Nya walaupun selembut bayu.
Di saat hamba-Nya terjatuh, Maha Pencipta meniupkan kekuatan kepada hamba-Nya dengan hadirnya insan soleh.
Ketika hamba-Nya terleka melakukan dosa, Yang Maha Pengasih mengampunkan dosa dan menerima tangisan taubat hamba-Nya.
Sayangnya Maha Pencipta terhadap kita.



SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA AKAN DIHERET (UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA.

Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui dua cara.

Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. 

Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. 

Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. 

Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. 

Allah s.w.t berfirman:



Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 : Surah ar-Ra’d )


Monday, 15 October 2012

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..


Si ayah ada tiga orang anak yang amat dikasihinya.

Anak 1 selalu sahaja memuji ayahnya dan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 1 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 1 itu berlalu.

Anak 2 selalu sahaja membantu ayahnya dan sebagai balasan Anak 2 akan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 2 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 2 itu berlalu.

Anak 3 selalu sahaja memuji, membantu dan sedaya upaya membuat sesuatu yang menggembirakan hati ayah tanpa meminta apa-apa. Anak 3 hanya menyerahkan sahaja segala pilihan kepada ayah kerana merasakan ayahnya lebih tahu apa yang terbaik buat Anak 3. Ayah akan memberi sesuatu berdasarkan keperluan Anak 3.

Suatu hari ayah memanggil ketiga-tiga anak yang dikasihi. Ditangan ayah ada sesuatu yang disukai oleh ketiga-tiga anak. Ayahnya bertanya sama ada mereka nak apa yang ada ditangan ayah. Ketiga-tiga anak merasa amat gembira sekali. Anak 1 dan Anak 2 seperti biasa terus melakukan sebagaimana kebiasaan dan meminta apa yang ada ditangan ayah. Ayah terus memberikan kepada Anak 1 dan Anak 2 apa yang mereka pinta.

Anak 3 termangu-mangu, merasa malu dan tidak tahu bagaimana untuk meminta. Anak 3 terus bertanya apa yang ayah kehendaki. Ayah tersenyum. Ayah tahu apa di dalam hati Anak 3 cuma Ayah nak Anak 3 menyuarakan permintaannya sahaja. Maka ayah akan tunaikan permintaan Anak 3.

Air mata mula mengalir di pipi Anak 3, mulut masih terkunci, tidak tahu bagaimana nak meminta, kerana selama ini Anak 3 hanya menyerahkan segala-galanya kepada Ayah, dan menerima apa sahaja yang ayah berikan sahaja.

Ayah berkata, 'Mintalah wahai anakku, pasti aku akan berikan apa yang kamu minta'.


Begitulah kita, yang kurang meminta, kurang berdoa secara khusus.

Maha Pencipta menunggu dengan penuh rindu doa-doa hamba-Nya
Maha Pengasih menunggu dengan penuh cinta permintaan hamba-Nya
Sungguh indah bukan
Indahnya sebuah rasa, cinta Maha Pencipta,
Pemilik Yang Maha Agung, Maha Lembut, Maha Penyayang

Mintalah.. berdoalah wahai hamba-KU


Terdapat hadis yag diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bazzar, Abu Ya'la dan Al-Hakim daripada Abu Said Al-Khudri r.a yang bermaksud :

'Tiada seseorang dari seorang muslim berdoa dengan doa (yang) tiada pada (doa)nya itu (perkara yang) derhaka/dosa dan tiada yang memutuskan hubungan silaturrahim melainkan dikurniakan Allah akan dia dengan salah satu daripada 3 perkara :
1. sama ada disegerakan baginya permintaan itu; atau
2. sama ada disimpan baginya di akhirat (diberi ganjarannya di akhirat); atau
3. sama ada ditolak dengannya dari kejahatan (atau keburukan atau bala) yang seumpama setara dengan apa yang dimohon


Syeikh Ibnu 'Athaillah pernah berkata :

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN

Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.

Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.

Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:

Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.

Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.


Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...