Friday, 28 December 2012

Rindu Allah

Rindu Allah



Al-Junaidi Al-Bahgdadi pernah berkata :
1- Mati itu rumah Allah SWT, jangan biarkan selain Allah SWT mendiaminya. ( Jangan biarkan kita mati dalam keadaan Syirik kepada Allah SWT ).
2- Rindu kepada Allah SWT itu membuang dosa.
3- Kamu tidak akan mencapai Baqa’ ( kekal dengan Allah SWT ) sebelum melalui Fana’ ( hapus diri ).
4- Orang yang takut kepada Allah SWT tidak sentiasa senyum.
5- Orang yang hidup bersandarkan nyawa akan mati, kerana nyawa akan berpisah daripada badan. Orang yang hidup bergantung kepada Allah SWT tidak akan mati kerana Allah SWT tidak akan mati.
6- Mata manusia itu lebih baik buta sekiranya mata tidak dapat menghargai Keindahan Allah SWT.
Lidah manusia itu lebih baik bisu jika lidah tersebut tidak menyebut Nama-nama  Allah SWT.
Telinga manusia itu lebih baik tuli jika telinga tersebut tidak boleh menerima Nasihat Allah SWT.
Anggota manusia  itu lebih baik mati jika tidak melakukan Arahan Allah SWT.
7- Orang yang bergantung dengan usahanya sendiri dalam mengenang Allah tidak akan mendapat ganjaran penuh dalam ibadatnya.
8- Orang yang dicintai oleh Allah SWT akan dipermudahkan kepadanya untuk berkawan dengan Wali-wali Allah SWT.
9- Orang yang mengkaji sesuatu tetapi tidak mengkaji hikmah perkahwinan tidak akan mencapai kesempurnaan dalam kajiannya.
10- Orang yang terlalu banyak makan tidak akan dapat melakukan ibadat.
11- Dunia itu tidak manis tetapi manis pada nilai kerohanian yang Allah SWT berikan kepadanya.
12- 400 orang ulamak bersepakat ” Seseorang itu hendaklah melakukan ibadat dengan penuh hati dan khusyuk sehingga tidak terlintas dalam fikirannya selain daripada Allah SWT”.
13- Seorang sufi itu seperti ladang, baja dan isinya. oleh yang demikian orang sufi adalah ibarat benih-benih yang baik.
14- Tauhid itu adalah mengenal Allah SWT.
15- Perasaan Cinta kepada Allah SWT akan membunuh perasaan ego yang terdapat dalan jiwa orang mukmin.
16- Sesat lalai daripada mengingati Allah SWT menghapuskan pahala seribu tahun beribadat.
17- Orang yang Benar-benar Ikhlas kepada Allah SWT pasti akan menjumpai Allah SWT.
18- Orang yang benar-benar  Mukmin adalah orang yang yakin hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi makanan kepadanya.
19- Orang yang berakal waras adalah lebih baik daripada orang sufi yang memiliki perasaan jahat di dalam hati.
20- Allah SWT terlebih dahulu mencipta Rahmat daripada mencipta Dunia.
21-  Sesiapa menyebut nama Allah SWT pasti namanya akan lenyap bersama nama Allah SWT.
22- Kesufian yang Allah SWT kurniakan kepada semua insan adalah kesufian yang lari daripada dunia dan menuju kepada Allah SWT dengan peribadatan.
23- Rahsia kesufian itu adalah Rahsia yang tersimpan di sisi Allah SWT yang tidak akan diketahui oleh sesiapa pun.
24- Jenayah yang paling zalim adalah Tamak haluba.
25- Berfikir dengan ayat-ayat Al-Quran akan mendapat Cahaya Allah SWT, kemuliaan Allah SWT dan Taqwa kepada Allah SWT.
Ayat-ayat Al-Quran berupaya melahirkan perasaan Cinta kepada Allah SWT.
26- Orang yang sentiasa memikirkan Rahmat Allah SWT akan dapat menghilangkan dosa kerana orang yang bimbang kehilangan Rahmat Allah tidak akan melakukan dosa.
27- Orang yang paling agong disisi Allah adalah orang yang menyerah kehendaknya kepada kehendak Allah SWT dan keredhaan Allah SWT.
28- Seseorang yang benar-benar Hamba Allah SWT tidak akan menyembah selain daripada Allah SWT.
29- Buangkan perasaan pentingkan dunia, pasti  Allah SWT akan membuka Jalan untuk menemuiNya.
30- Membuang hawa nafsu akan menjadikan diri anda pendamping kepada Allah SWT yang paling dekat.

Friday, 19 October 2012

Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya


Tanda Allah menyayangi hamba-Nya, dihantar-Nya orang-orang soleh (ahlu dzikr) untuk mendampingi hamba-Nya agar hamba-Nya kembali rukuk dan sujud kepada-Nya dalam erti kata yang sebenar.

Adakalanya kita tidak menyedari hal tersebut. Jika kita teliti, tiada yang kebetulan. Semuanya dengan pengetahuan dan aturan Yang Maha Pengasih. Tidakkah kita merasai kasih sayang-Nya terhadap kita? Allah uji hamba-Nya.
Allah melihat hamba-Nya melalui ujian dan rintangan kehidupan.
Allah melihat kesungguhan hamba-Nya dan kesabaran hamba-Nya.
Allah mendengar segala rintihan hamba-Nya.
Allah mengetahui segala detik dan desiran hati hamba-Nya walaupun selembut bayu.
Di saat hamba-Nya terjatuh, Maha Pencipta meniupkan kekuatan kepada hamba-Nya dengan hadirnya insan soleh.
Ketika hamba-Nya terleka melakukan dosa, Yang Maha Pengasih mengampunkan dosa dan menerima tangisan taubat hamba-Nya.
Sayangnya Maha Pencipta terhadap kita.



SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA AKAN DIHERET (UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA.

Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui dua cara.

Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. 

Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. 

Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. 

Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. 

Allah s.w.t berfirman:



Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 : Surah ar-Ra’d )


Monday, 15 October 2012

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..

Hamba-KU, mintalah... Aku akan tunaikan..


Si ayah ada tiga orang anak yang amat dikasihinya.

Anak 1 selalu sahaja memuji ayahnya dan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 1 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 1 itu berlalu.

Anak 2 selalu sahaja membantu ayahnya dan sebagai balasan Anak 2 akan meminta sesuatu daripada ayah yang dikasihi. Adakala ayah tunaikan permintaan Anak 2 dan adakala ayah tidak membiarkan sahaja permintaan dan rengekan Anak 2 itu berlalu.

Anak 3 selalu sahaja memuji, membantu dan sedaya upaya membuat sesuatu yang menggembirakan hati ayah tanpa meminta apa-apa. Anak 3 hanya menyerahkan sahaja segala pilihan kepada ayah kerana merasakan ayahnya lebih tahu apa yang terbaik buat Anak 3. Ayah akan memberi sesuatu berdasarkan keperluan Anak 3.

Suatu hari ayah memanggil ketiga-tiga anak yang dikasihi. Ditangan ayah ada sesuatu yang disukai oleh ketiga-tiga anak. Ayahnya bertanya sama ada mereka nak apa yang ada ditangan ayah. Ketiga-tiga anak merasa amat gembira sekali. Anak 1 dan Anak 2 seperti biasa terus melakukan sebagaimana kebiasaan dan meminta apa yang ada ditangan ayah. Ayah terus memberikan kepada Anak 1 dan Anak 2 apa yang mereka pinta.

Anak 3 termangu-mangu, merasa malu dan tidak tahu bagaimana untuk meminta. Anak 3 terus bertanya apa yang ayah kehendaki. Ayah tersenyum. Ayah tahu apa di dalam hati Anak 3 cuma Ayah nak Anak 3 menyuarakan permintaannya sahaja. Maka ayah akan tunaikan permintaan Anak 3.

Air mata mula mengalir di pipi Anak 3, mulut masih terkunci, tidak tahu bagaimana nak meminta, kerana selama ini Anak 3 hanya menyerahkan segala-galanya kepada Ayah, dan menerima apa sahaja yang ayah berikan sahaja.

Ayah berkata, 'Mintalah wahai anakku, pasti aku akan berikan apa yang kamu minta'.


Begitulah kita, yang kurang meminta, kurang berdoa secara khusus.

Maha Pencipta menunggu dengan penuh rindu doa-doa hamba-Nya
Maha Pengasih menunggu dengan penuh cinta permintaan hamba-Nya
Sungguh indah bukan
Indahnya sebuah rasa, cinta Maha Pencipta,
Pemilik Yang Maha Agung, Maha Lembut, Maha Penyayang

Mintalah.. berdoalah wahai hamba-KU


Terdapat hadis yag diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bazzar, Abu Ya'la dan Al-Hakim daripada Abu Said Al-Khudri r.a yang bermaksud :

'Tiada seseorang dari seorang muslim berdoa dengan doa (yang) tiada pada (doa)nya itu (perkara yang) derhaka/dosa dan tiada yang memutuskan hubungan silaturrahim melainkan dikurniakan Allah akan dia dengan salah satu daripada 3 perkara :
1. sama ada disegerakan baginya permintaan itu; atau
2. sama ada disimpan baginya di akhirat (diberi ganjarannya di akhirat); atau
3. sama ada ditolak dengannya dari kejahatan (atau keburukan atau bala) yang seumpama setara dengan apa yang dimohon


Syeikh Ibnu 'Athaillah pernah berkata :

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN

Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.

Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.

Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:

Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.

Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.


Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }




Sunday, 14 October 2012

Berdoalah dengan penuh sopan dan malu di hadapan Tuhanmu

Berdoalah dengan penuh sopan dan malu di hadapan Tuhanmu


Di saat engkau di uji dengan perlakuan maksiat, kembalilah kepada Pemilikmu. Mengadulah dengan rendah hati kepada-Nya. Rasa beratnya dosa. Mohonlah kepada Penciptamu. Jangan memohon kepada selain Pemilikmu kerana Dia-lah yang memenuhi hajatmu. Bagaimana sesuatu selain-Nya boleh mengubah sesuatu yang Allah swt sudah tetapkan? Bagaimana mungkin orang yang engkau pinta pertolongan boleh mengubah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Bagaimana memohon kepada Maha Lembut dan Maha Penyayang? Mohonlah dengan penuh sopan dan rasa malu pada-Nya. Berdoa itu tidaklah sama seperti menyuruh seorang pelayan melakukan sesuatu yang kita kehendaki. Pendoa sejati memohon dengan penuh sopan dan malu dihadapan Maha Penyayang. Pendoa sejati tidak meminta sesuatu yang ia kehendaki, namun menampakkan sikap sopan di hadapan Penciptanya.

Yang paling penting ialah bukan pada fakta bahawa kita memohon, namun pada kenyataan bahawa kita sopan. Ketahuilah bahawa Penciptamu mengetahui apa yang di dalam hatimu, walaupun engkau tidak menyebutnya. Ketahuilah bahawa Pemilikmu mengetahui apa yang engkau inginkan walaupun engkau tidak meminta. Yang penting bukanlah adanya permohonan, melainkan engkau diberikan kesopanan ketika bersimpuh tunduk mengadap Yang Maha Kuasa.

Malunya kita di hadapan Pemilik dan Pencipta kita
Rasakan kebesaran-Nya
Rasakan kelembutan-Nya
Rasakan kehangatan cinta-Nya

Sedarlah, bahawa berdoa itu sendiri menunjukkan sebahagian dari kasih sayang Allah swt kepada kita.

Ketika Allah melonggarkan lidahmu untuk meminta, maka ketahuilah bahawa Dia hendak memberimu.

Syeikh Haeri berkata, ketika manusia merasa butuh (perlukan sesuatu) lalu kembali kepada Allah agar Dia memenuhi kebutuhannya (keperluannya), itu menunjukkan bagaimana Dia, Yang Maha Pemurah, mendekatkan jarak antara Si Peminta dan Sang Pemberi. Sesungguhnya Dia membolehkan kita meminta agar kita merasakan aliran kurnia dan rahmat-Nya, yang sudah ada sebelum diminta. Ungkapan lisan yang paling jujur dalam meminta menggemakan janji pengabulan-Nya, yang sudah ada sebelum suara lidah meluncur.


Saturday, 13 October 2012

Jatuh Cinta dengan Pencipta-Mu

Jatuh Cinta dengan Pencipta-Mu


Ada ketikanya kita merasa kita perlu bersendirian dengan Pencipta kita. Ingin tinggalkan kesemua kesibukan dan keserabutan duniawi. Mungkin itulah yang dirasakan oleh sebahagian kita. Hinggakan guru meninggalkan anak muridnya, murid meninggalkan gurunya, ibu meninggalkan anaknya, anak meninggalkan ibunya, suami meninggalkan isterinya, isteri meninggalkan suaminya.

Ada ketikanya kita merasakan diri kita terkurung dalam penjara waktu. Ingin kita bebaskan diri kita agar sampai kepada-Nya. Walau jasad terpenjara, tetapi jiwa mula meneroka alam maya mencari cinta-Nya.

Ada ketikanya kita merasa kehausan cinta-Nya, merasa amat rindu menyebut nama-Nya. Ketika itu, kita tercari-cari apakah amalan untuk dipersembahkan kepada Yang Dirindu. Jiwa mula resah. Kerinduan mula terasa memuncak hingga mutiara jernih mengalir di pipi sujud kepada-Nya. Tiada kata diungkap melainkan rintihan kerinduan... Allah... Allah... Allah... Pemilik Segala Cinta... Menyebut nama-Nya sahaja mendatangkan bahagia dan damai di hati...

Keadaan jiwa yang mengiringi cinta adalah seperti merasa begitu dekat dan hampir, merasa diri berada dalam pelukan sang kekasih, merasa dipantau, takut, diri seolah lebur dalam diri sang kekasih, kekal bersama Sang Kekal, dan menyaksikan kehadiran kekasih hati di alam ruhani, rasa dimanjai dan memanjakan diri dengan Pemilik dirimu.

Al-Husayn ibn Manshur al-Hallaj berkata :
'Cinta adalah keberadaanmu bersama kekasihmu dengan menanggalkan sifat-sifatmu, sebab keseluruhan diri sang pencinta serasi dengan keseluruhan diri sang kekasih. Ketidakhadirannya adalah ketidakhadiran sang kekasih dan keberadaannya adalah keberadaan sang kekasih'

Dalam kitab Perindu Allah, Mari Jatuh Cinta, adalah dikatakan -

Cinta adalah kegembiraan hati melihat keindahan sang kekasih

Cinta adalah sang pencinta menghilangkan sifat-sifat dirinya dan menempatkan kekasihnya pada dirinya

Hakikat cinta adalah kamu menghapus segala sesuatu selain kekasihmu dari hatimu

Cinta umpama hati yang membakar segala sesuatu selain sang kekasih.

Cinta adalah kamu menghibahkan keseluruhan dirimu kepada kekasihmu sehingga tidak ada yang tersisa darimu sedikitpun

Hakikat cinta adalah apa yang tidak akan beres kecuali dengan melihat sang kekasih

Cinta adalah sebuah makna dari sang kekasih yang menaklukkan hati, akal tak sanggup menerangkan makna itu dan kata-kata tak mampu mengungkapkannya

Cinta adalah pepohonan yang tertanam dalam hati dan berbuah sesuai dengan kemampuan akal mencernanya

Benar,

Bila kita mula jatuh cinta pada-Nya, kita akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk yang dicintai, kita akan membanyakkan solat sunat, kita akan berusaha membasahi lidah dan ingatan dengan zikrullah. Jiwa mula terasa kosong tanpa zikir pada-Nya. Kita akan meluahkan rasa cinta itu dengan apa cara sekalipun, hatta kepada guru yang mendidik dan mentarbiyah dan menunjukkan jalan menuju cinta-Nya tanpa sebarang rasa malu.

Kita bahagia menceritakannya. Kita bahagia menukilkan cinta kita kepada-Nya. Kita bahagia dengan perubahan pada diri kita kerana-Nya. Semuanya kita merasa ingin dikongsi kerana hati rasa bahagia. Semuanya mahu diungkapkan.

Wahai Tuhan, moga apa yang kuungkapkan, kunukilkan, kuceritakan tidak mendatangkan dosa dan menjauhkan diriku dari-Mu. Moga apa yang kulakukan tidak menjarakkan cintaku dengan cinta-Mu. Andai ada kesilapan dan dosa, ampun kupinta. Moga dibersihkan hati dari segala noda. Moga apa yang berlaku makin mendekatkan diriku kepada-Mu, wahai Penciptaku.

Terasa amat bahagia apabila merasa diri ini dimiliki oleh Sang Pemilik Yang Maha Penyayang.
Terasa amat bahagia apabila merasa rintihan ini didengari oleh Sang Pemilik Yang Maha Pengampun.

Bantulah hamba-Mu ini untuk menyerahkan diri kepada-Mu
Bantulah hamba-Mu ini untuk menyerahkan diri untuk diatur oleh-Mu

Bukakanlah hijab. Janganlah Engkau hijabkan diri-Mu Yang Maha Indah dari diriku.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Penjaga.



Hamba-Ku, kembalilah kepada-Ku




Hamba-Ku, kembalilah kepada-Ku


Wahai Allah,
ampunilah segala kelalaianku selama ini
Aku mengadu kepada selain-Mu
Aku menulis kepada selain-Mu
Hmm... Bahkan Dulu Engkaulah segala-galanya buatku

Wahai Allah,
Engkau Maha Pengasih
Engkau Maha Pengampun
Terimalah diriku ini
hamba-Mu yang banyak kelemahan
leka dengan nikmat yang Kau kurniakan
nikmat guru
nikmat sahabat
segala macam nikmat
yang membuatku tersenyum bahagia
hinggaku terlupa
segalanya kerana kasih sayang-Mu jua

Wahai Allah,
Seolah-olah terdengar di telingaku ini
suara-Mu... penuh rindu penuh kelembutan
menusuk kalbuku

Hamba-Ku, pilihlah Aku... jangan memilih selain-Ku
Hamba-Ku, mengadulah kepada-Ku... jangan mengadu selain-Ku
Hamba-Ku, datanglah kepada-Ku... jangan kau pergi kepada selain-Ku
Hamba-Ku, menangislah pada-Ku... jangan kau menangis kepada selain-Ku
Hamba-Ku, ingatlah Aku... jangan kau ingat kepada selain-Ku
Hamba-Ku, Aku di sini... tetap di sini... dekat denganmu datanglah kepada-Ku

Wahai Allah,
kelembutan-Mu
kasih sayang-Mu
kecintaan-Mu
membuatkan aku menggunung rasa berdosa bersalah
Ampunilah aku
Pimpinlah tanganku
jangan lepaskan aku
Aku ingin kembali kepada-Mu
Aku ingin bersama dengan-Mu
Aku ingin mendekati-Mu
Aku ingin mencintai-Mu
Aku ingin merindui-Mu
Tuhanku...

Monday, 8 October 2012

Allah Cinta Kamu?




Allah Cinta Kamu?


Allah Cinta Kamu? Benarkah? Adakah kamu merasai cinta Allah terhadap dirimu? Banyak mana yang kamu rasa? Sebanyak dan sedalam air lautan... sebanyak air kopi panas di dalam cawan... sekolam renang... atau hanya setitis tinta...

Kamu yang merasainya bukan? Soalan ini hanya diri sendiri sahaja yang mampu menjawabnya. Kerana kamu yang merasainya.

Apakah tanda-tanda Allah mencintai kamu?

Tanda-tanda orang yang memperolehi cinta Allah dapat kita lihat dari keimanannya yang terus bertambah dari waktu ke waktu. Hamba-Nya sibuk dengan Allah hingga kekadang lupa makan dan minum. Ibadah dan kepatuhannya kian meningkat dalam melaksanakan syariat agama, lebih sensitif terhadap segala larangan Maha Pencipta dan menjauhinya. Hamba-Nya berusaha memperbanyakkan zikir kepada Maha Kuasa, serta sentiasa merasa diawasi oleh Khaliq-Nya walau di mana jua dia berada.

Dalam suatu hadis Qudsi yang berbunyi : 'Seorang hamba akan terus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sampai Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang ia gunakan untuk memukul, dan kakinya yang ia gunakan untuk berjalan' (HR Bukhari)

Dalam suatu riwayat yang lain diceritakan bahawa terdapat seorang wanita solehah menjadi pelayan dalam sebuah rumah. Ia sentiasa melakukan solat malam. Suatu hari, majikan beliau mendengar doa-doa yang ia baca dalam sujudnya.

Katanya, 'Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dengan cinta-Mu kepadaku agar Engkau memuliakan aku dengan bertambahnya ketaqwaan di hatiku....'

Setelah wanita solehah tersebut selesai solat, majikan bertanya kepadanya, 'Dari mana kamu tahu bahawa Allah mencintaimu? Mengapa tidak kamu katakan sahaja, 'Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dengan cintaku kepada-Mu?'

Wanita solehah tersebut menjawab, 'Wahai Tuanku, kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia membangunkan aku pada waktu-waktu seperti ini. Kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia membangunkan aku untuk berdiri (solat) menghadap-Nya. Kalau bukan kerana cinta-Nya kepadaku, mana mungkin Dia menggerakkan bibirku untuk bermunajat kepada-Nya'

Subhanallah...
Indahnya sebuah CINTA...
Cinta yang amat menggiurkan hati...
Cinta yang begitu mengasyikkan...
Cinta yang membuatkan hati ini sentiasa bahagia...

Ya Allah, Engkau tambahkanlah rasa cinta ini dalam hatiku...
Ya Allah, Engkau penuhkanlah rasa cinta dan rindu pada-MU dalam diriku...
Sungguh Engkau Maha Pengasih, Maha Lembut, Maha Penyayang...


Friday, 14 September 2012

Allah menyayangi kita, hanya kita tidak menyedarinya





Allah swt amat menyayangi kita, 
hanya kita yang tidak menyedarinya.


Bila difikirkan, itulah aku dulunya. Leka sahaja. Bermain-main dengan dunia.
Sibuk belajar, menatap nota-nota bisu tidak berkata.
Sibuk menghafal satu-persatu fakta undang-undang.
Hah! Masih terasa penatnya. Bila hari minggu, mula kususun buku-buku satu persatu.
Hmm... ada nota yang masih tidak lengkap rupanya.
Nota siapa ya yang boleh kupinjam untuk kucatat mana yang masih kosong.
Tulisan dah seperti cakar ayam. Ha ha... dunia siswa siswi, manis sekali bila kuingati

Semuanya dalam aturan dan pengetahuan Allah swt Yang Maha Pengasih
Hatta, buku yang kita beli pun dalam pengetahuan Allah swt
Hatta, nota-nota yang hendak kita fotostat pun dalam pengetahuan Allah swt

Ku ingat kembali zaman mudaku... (ha ha... sekarang pun, hmm... masih muda lagi..)
Pustaka Salam kakiku hayun melangkah
seperti biasalah, alang-alang masuk ke kedai buku, mesti kubeli walaupun satu
walaupun kempis wang di saku... inilah tabiatku... ulat buku... kalau tak beli, tidur pun ku tak mampu
termimpi-mimpi buku nan satu...

jadi, apa lagi... ku belek satu per satu
mana yang isinya penuh ilmu, tapi murah... harga mampu, untuk pelajar seperti aku
ha... aku terjumpa satu buku kecil... covernya tak menarik.. tapi isinya, hmm...aku tidak berapa nak memahami, tapi mungkin satu hari nanti aku akan perlukannya... harga mampu beli.. RM2.80 sahaja nilainya..

Jadi, aku membawa pulang buku 'Mengenal Diri dan Wali Allah' dengan rasa penuh gembira...
tapi, aku tidak membacanya... hanya disimpan... disimpan... dan disimpan... lama..

2010... sesuatu berlaku pada diriku... seperti ditarik kepada suatu cahaya
2011... buku kecil itu mula menegurku, mengetuk pintu hatiku agar aku membacanya.. ya, baru 3 kali aku membacanya... aku cuba fahami... aku meneliti baris demi baris... begitu menyentuh hati...

aku terus mencari...
aku terus membeli...
hidayah itu mahal harganya...
aku tidak akan membiarkan ia berlalu pergi...

Aku ingin mengenali Pencipta-KU
Aku ingin mencintai Pencipta-KU
Aku ingin merindui Pencipta-KU
Alangkah indahnya alam ini
Alangkah indahnya hidup ini
Mengapa aku tidak nampak ya sebelum ini
Mataku celik tetapi terasa seakan buta

Terima kasih guruku
Terima kasih mursyidku
Terima kasih murabbiku
yang membawaku keluar dari kegelapan menuju cahaya

Ketahuilah, ketika secara lahir Allah menjadikanmu taat melaksanakan perintah dan secara batin menganugerahkan sikap pasrah kepada-NYA, bererti DIA telah melimpahkan nikmat yang besar padamu.

"Ya Allah, wahai Sumber Cahaya
wahai Yang Maha Benar
wahai Yang Maha Terang
Bukalah kalbuku dengan cahaya-MU
ajarilah aku lewat ilmu-MU
Fahamkan aku tentang-MU
Tegakkan aku dengan menyaksikan-MU
perkenalkan aku jalan menuju-MU
mudahkan ia bagiku lewat kurnia-MU
pakaikan untukku ketakwaan dari-MU
Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu"

Ameen Ya Allah... aku ingin mendekatiMU Ya Allah, aku ingin mengenaliMU ya Allah... bantulah aku..



Saturday, 8 September 2012

Wahai Penciptaku



Wahai Penciptaku


Wahai Penciptaku
Aku ingin mengenaliMU
Aku ingin mendekatiMU
Aku ingin mencintaiMU
Aku ingin merinduiMU
Kenapa kekadang aku rasa aku jauh daripadaMU
Kenapa kekadang aku rasa aku sesat dalam pencarianku menujuMU

Wahai Penciptaku
Tunjukkanlah jalan dekat menujuMU
Moga aku dapat bersamaMU
Setiap masa dan ketika
Engkau semarakkanlah rasa rindu padaMU dalam hatiku
Penuhilah diri ini dengan rasa cinta kepadaMU

Wahai Penciptaku
Biarlah air mata yang menitis hanya kerana mengingatiMU
Biarlah keringat yang mengalir hanya kerana pencarian menuju redhaMU

Wahai Penciptaku
Aku ingin mengadapMU
Aku ingin bertemuMU
Bantulah aku
Tunjukkanlah jalanMU

Wahai Penciptaku
Bangunkanlah aku pada sepertiga malam
Untuk merintih padaMU
Untuk sujud padaMU
Untuk bersamaMU
Untuk berbicara denganMU
Untuk bersunyian denganMU
Jadikanlah malam itu
Detik-detik yang dirindu
Detik-detik yang ditunggu-tunggu

Janganlah biarkan satu malam berlalu
Tanpa aku sujud padaMU
Wahai Penciptaku

Sungguh aku rindu padaMU
Sedihnya siksanya menunggu siang berlalu
menunggu malam berlabuh

Wahai Penciptaku
Andai ada dosa
Yang kusedari dan tidak kusedari
Ampunkanlah Ampunkanlah Ampunkanlah
Janganlah diri yang tiada apa-apa ini dilupakan
Hingga malam menjengok siang

Wahai Penciptaku
Dengarlah luahan hambaMU
Yang tiada apa-apa
Yang kerdil dan hina
Jadikanlah diri ini
hambaMU yang sentiasa merindu dan mencintaiMU

Monday, 27 August 2012

Bagaimana memperolehi cinta Allah swt?




BAGAIMANA MEMPEROLEHI CINTA ALLAH SWT?

Anda mencintai Allah swt? Benarkah? Apa yang telah anda lakukan untuk mendapatkan cinta-NYA? 
Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan beberapa hal untuk mendapatkan cinta Allah dalam kitab beliau Madarijus Salikin.
Pertamamembaca Al Qur’an dengan merenungi dan memahami maknanya. Hal ini bisa dilakukan sebagaimana seseorang memahami sebuah buku yaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. [Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an, pen] 
Keduamendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah yang sunnah, setelah mengerjakan ibadah yang wajib.  Dengan inilah seseorang akan mencapai tingkat yang lebih mulia yaitu menjadi orang yang mendapatkan kecintaan Allah dan bukan hanya sekedar menjadi seorang pecinta. 
Ketigaterus-menerus mengingat Allah dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya. Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan dzikir kepada-Nya. 
Keempatlebih mendahulukan kecintaan pada Allah daripada kecintaan pada dirinya sendiri ketika dia dikuasai hawa nafsunya. Begitu pula dia selalu ingin meningkatkan kecintaan kepada-Nya, walaupun harus menempuh berbagai kesulitan. 
Kelimamerenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah. Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh karena itu, mu’athilah,  fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (karena mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut). 
Keenammemperhatikan kebaikan, nikmat dan karunia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir maupun batin. Inilah faktor yang mendorong untuk mencintai-Nya. 
Ketujuhmenghadirkan hati secara keseluruhan tatkala melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya. 
Kelapanmenyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir untuk beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an). Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya. 
Kesembilanduduk bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para shidiqin. Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian  dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahwa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain. 
Kesepuluhmenjauhi segala sebab yang dapat mengahalangi antara dirinya dan Allah Ta’ala.
Semoga kita senantiasa mendapatkan kecintaan Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap detak jantung dan setiap nafasnya. Ibnul Qayyim mengatakan bahwa kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati. 
Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmush sholihaat. Wa shallalahu ‘ala nabiyyina Muhammad wa ‘ala alihi wa shohbihi wa sallam.
Sumber: Madaarijus Saalikin, 3/ 16-17, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, terbitan Darul Hadits Al Qohiroh

Wednesday, 15 August 2012

Ubat Cinta



Ubat Cinta


Wahai Pencipta Segala Jiwa
Bahagianya hati ini dapat berbicara denganMU
Apatah lagi dapat bersua dengan kekasihMU
Cuma adakah kulayak untuk bertemu denganMU

Wahai Pencipta Segala Jiwa
Kau hampar dihadapanku pelbagai duri
Untuk kulalui menuju cintaMU
Walau luka tetap kuharungi
Sembuhkanlah lukaku dengan ubat cintaMU

Wahai Pencipta Segala Jiwa
Aku ingin bersamaMU
Setiap masa setiap ketika
Walau diriku luka
Ku tetap bahagia

Wahai Pencipta Segala Jiwa
Aku ingin tenggelam dalam lautan cintaMU
Biarlah aku lemas kerana mencintaiMU

Wahai Pencipta Segala Jiwa
Bantulah hambaMU untuk merehatkan diri
dari segala keinginan dan pengaturan yang menimpa
biar Maha Pengasih mentadbir dan mengurus segala
kerana Engkaulah sebaik-baik Pentadbir Alam
dengan penuh cinta buat sekalian hamba

Al Fudhail Ibnu 'Iyadh berkata: Sesungguhnya Allah telah berfirman:
Adalah dusta orang yang mendakwa cinta kepada-Ku tetapi dia tidur daripada-Ku, bukankah setiap orang yang sedang dilamun cinta sangat suka kalau sentiasa berkhalwat (bersunyi-sunyi) dengan kekasihnya? "Inilah Aku yang sentiasa memerhatikan kekasih-kekasih-Ku, sungguh mereka telah jelmakan Aku dalam pandangan mereka, berdialog dengan-Ku seolah-olah mereka menyaksikan Aku, bercakap dengan-Ku seolah-olah Aku hadir dihadapan mereka. Esok akan Aku senangkan hati kamu di dalam syurga-syurga-Ku. Perasaan ini sentiasa tersemat kukuh dihati mereka sehingga tidak ada didalam hati mereka kecuali Aku. Oleh itu tidak ada yang muncul dari anggota mereka melainkan selaras dan sesuai dengan apa yang ada di dalam hati mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...